SEORANG lagi pemimpin politik yang pulang dari kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disahkan positif Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara Shatiri Mansor menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook semalam berkata, dia bersama isteri dan dua anaknya positif Covid-19.
Dalam rakaman video itu, Shatiri berkata, beliau dan tujuh lagi individu dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Damansara pulang dari Sabah dan menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
"Pada 30 September lalu, isteri saya menerima panggilan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling dan disahkan positif Covid-19, sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
"Oleh kerana kami kontak rapat, kami dipanggil semula oleh PKD pada 2 Oktober lalu untuk menjalani semula ujian saringan dan hari ini, saya terima panggilan daripada PKD Petaling dan memaklumkan saya serta dua anak positif Covid-19," katanya dalam rakaman tersebut.
Positif Covid |
Terdahulu, Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei mengesahkan dirinya positif wabak tersebut.
Dalam satu kenyataan, Lim berkata dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya setelah melakukan ujian saringan kedua pada 2 Oktober lalu.
Bagaimanapun Lim berkata, atas dasar tanggungjawab, semua individu dalam kumpulannya mengamalkan pengasingan kendiri di rumah sejak hari pertama kembali ke semenanjung sejak 27 September lalu.
0 Comments