SEORANG pakar Epidemiologi menggesa kerajaan menangguhkan semua program rasmi membabitkan menteri kabinet.
Saranan itu dikeluarkan Prof Madya Dr Marlina Osman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan kes positif dalam kalangan pemimpin negara.
Tambahnya, bagi majlis rasmi yang tidak dapat ditangguhkan pula, Dr Marlina menyarankan supaya majlis jamuan makan dan minum tidak diadakan.
“Untuk masyarakat awam, elakkan untuk makan (dan) minum yang memerlukan pelitup muka dibuka di tempat sesak.
“Ambil langkah berhati-hati serta sentiasa patuh pakai pelitup muka atau kuarantin diri sendiri jika perlu," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini media melaporkan beberapa kes membabitkan pemimpin politik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi pemimpin terbaharu yang disahkan positif Covid-19.
Zulkifli sebelum ini dilaporkan berada di Sabah untuk menyertai program ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN),
Bekas Mufti itu turut menghadiri beberapa program lain selepas pulang ke Semenanjung.
Pada Rabu lalu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Dr Ahmad Masrizal Mohamad mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas ujian kedua dilakukan, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Pakar gesa tangguh semua program menteri
Setakat Isnin, sebanyak 432 kes baharu dilaporkan di negara ini, sekali gus menjadi angka paling tinggi direkodkan, setakat ini.
Daripada jumlah kes baharu, sebanyak 429 kes adalah kes penularan tempatan.
Peningkatan kes kebelakangan ini dikaitkan dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan setelah bekas Ketua Menteri, Musa Aman cuba mengambil pentadbiran negeri dari kerajaan Warisan ketika itu.
0 Comments