Saifuddin jawab pertanyaan bekas ADUN dari KEADILAN



AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Saifuddin Nasution Ismail tidak menghadiri Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang selama 4 hari kerana perlu menjalani pemeriksaan perubatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Penjelasan itu dibuat Saifuddin susulan tindakan seorang wakil rakyat pembangkang negeri yang mempersoalkan ketidakhadiran Setiausaha Agung KEADILAN itu sehingga berlaku kekecohan dalam pada sesi sidang DUN semalam.  

Dipetik laporan FMT, Saifuddin berkata, beliau sudah memaklumkan ketua menteri sebelum mengambil cuti untuk menjalani pemeriksaan perubatan segera.

“Saya berada di sana pada hari pertama (Isnin) pembentangan belanjawan negeri 2021. Saya beritahu ketua menteri yang saya akan ke KL pada petang itu.

“Saya ada temu janji dengan Hospital Pantai untuk pemeriksaan kesihatan dan pada masa sama ujian Covid-19. Saya disahkan negatif, alhamdulillah," jelasnya.


Saifuddin jalani pemeriksaan perubatan
Terdahulu,  Afif Bahardin dan Zulkifli Ibrahim yang dilucutkan keanggotaan dari KEADILAN mempersoalkan ketidakhadiran Saifuddin dan jika DUN sudah dimaklumkan.

Mereka mendakwa Saifuddin “menghina” DUN kerana tidak hadir.


Bagaimanapun Speaker, Law Choo Kiang kemudiannya berkata, Adun tidak wajib berada dalam DUN sepanjang masa, tetapi mereka perlu memberi notis kepada kerani DUN, khasnya jika mereka tidak hadir untuk tempoh lama.

“Saya berterima kasih kepada Afif dan Zulkifli kerana membangkitkan isu ini yang saya terima dengan hati terbuka,” kata Saifuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu kepada reaksi kedua-dua bekas pemimpin yang dipilih sebagai ADUN atas tiket KEADILAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu itu.

Post a Comment

0 Comments