Rakyat makin menyampah, PN tak lagi dilihat bela rakyat


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) bukan lagi dilihat sebagai pembela nasib rakyat, kata Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin.

Dipetik dari laporan Sinar, Aswannudin berkata perkara itu dapat dilihat kebelakangan ini terutama apabila pelbagai tuntutan jawatan berserta lain-lain imbuhan yang diakhiri dengan ugutan demi ugutan telah dikaitkan dengan pentadbiran Muhyiddin.

"Bermula atas semangat bertolak ansur, semenjak akhir-akhir ini umpama menolak beransur-ansur.

"Ahli Politik sepatutnya ikhlas dalam menjaga kebajikan rakyat dan tidak harus mengeluarkan ucapan retorik semata-mata umpama pepatah Melayu, 'telunjuk lurus, kelingking berkait," katanya menurut laporan itu lagi.

Beliau dipercayai berkata begitu sebagai mengulas syarat baru yang mahu dikemukakan rakan kerjasama politik dalam PN terutama Umno yang mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio penting dalam kerajaan diberi kepada mereka.

Untuk rekod, petadbiran Muhyiddin ketika ini dilihat semakin lemah.

Selain gagal mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin memburuk, Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa cuba memberi 'sogokan politik' termasuk menawarkan jawatan pengerusi Petronas kepada Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.

Sebelum ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga dikritik kerana dilihat cuba melakukan pengukuhan kuasa dengan mengagih-agihkan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pentadbiran Muhyyidin dilihat makin ditolak
Sementara itu tambah Aswanudin,  pimpinan kerajaan sepatutnya berpegang kepada asas menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat dan tidak hanya mengejar matlamat peribadi yang akhirnya akan menyebabkan ketidaktentuan politik berterusan.
 
"Rakyat semakin meluat dan marah dengan polemik politik seumpama ini kerana dalam situasi getir ini, agenda rakyat seharusnya menjadi keutamaan dan bukan hanya sekadar memenuhi agenda peribadi," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments