Masalah air S'gor: Ebit Lew turun bantu rakyat



SUSULAN masalah air di Selangor telah mendorong pendakwah bebas, Ebit Lew membeli 2 lori tangki air untuk membantu penduduk Lembah Klang yang terjejas dengan masalah gangguan bekalan air.

Melalui muatnaik di laman facebooknya, pendakwah yang terkenal dengan sifat dermawan itu berkata,  beliau mula keluar rumah sejak 10 malam tadi bagi memulakan kerja-kerja pengagihan air di pinggiran Batu Caves.

“Bila saya tengok rumah saya tiada air, saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana.

“Ya Allah, sekali tengok orang beratur. Paling sayu pakcik makcik tua-tua nak air, ada yang saya minta pembantu saya bantu angkatkan. Ada adik kecil-kecil datang ambil air, untuk masak dan minum agaknya.

“Ya Allah, bantulah semua negeri yang ada masalah air, permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua,” tulisnya di Facebook.

Sejak semalam, sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia susulan 4 loji rawatan air Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran bau.

Disebahagian kawasan antaranya Shah Alam dan kawasan Lembah Klang keadaan adalah lebih sukar. Sehari sebelumnya masalah serupa berlaku selepas Air Selangor terpaksa menghentikan tugas separa untuk kerja-kerja pembaikan ekoran paip air yang menyalurkan bekalan air terawat mengalami kebocoran.
 
Isu gangguan bekalan air yang sering berlaku di Selangor sejak kebelakangan ini turut mencuri perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik Najwan Halimi.

Melalui laman mikro Twitternya, Najwa membangkitkan sama ada terdapat sabotaj terhadap bekalan air Selangor sehingga masalah itu sering berulang.

Ebit Lew bantu penduduk Lembah Klang
“Kekerapan berlakunya insiden henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil oleh Kerajaan Negeri.

“Apakah wujud unsur sabotaj dan khianat hingga acapkali sumber air Selangor dicemar oleh pihak tidak bertanggungjawab?” tegasnya.

Sementara itu, Ebit Lew mengakui beliau mendapat banyak permintaan daripada pihak lain susulan gangguan bekalan air sejak semalam.

Ia antaranya dari bagi kegunaan pusat dialisis dan klinik kesihatan.


Post a Comment

0 Comments