PN jangan heret raja dalam krisis keyakinan - Shamsul Iskandar


MUHYIDDIN YASSIN dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya tidak seharusnya mengheret Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ke dalam kancah krisis keyakinan rakyat terhadap mereka.

Parti Keadilan rakyat (KERADILAN) berkata, krisis koronavirus (Covid-19) di Malaysia belum mencapai tahap 'darurat' yang memerlukan kerajaan mengisytiharkan darurat pentadbiran.

"Cadangan Proklamasi Darurat atau pembubaran Parlimen adalah langkah tidak bertanggungjawab. Cubaan mengisytiharkan darurat oleh kerajaan yang tidak mendapat sokongan rakyat adalah langkah diktator untuk terus mencengkam kuasa.

"PN tidak seharusnya mengheret Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ke dalam kancah krisis keyakinan rakyat terhadap mereka.

"Jangan terus cuba berpaut kepada kuasa, sebaliknya ambil tindakan yang bermaruah dan letak jawatan," kata Ketua Penerangan parti itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin  dalam satu kenyataan.

Rakyat sebelum ini dikejutkan dengan ura-ura bahawa pentadbiran Muhyiddin sedang berusaha mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi meletakkan negara dalam keadaan darurat.
 
Ia mendapat banyak kritikan dari pelbagai pihak, malah sebahagian pihak beranggapan tindakan itu dilakukan bagi matlamat politik kerajaan PN susulan kritikan rakyat susulan pendemik Covid-19 yang semakin meningkat dan kebimbangan perdana Menteri hilang sokongan dari Ahli Parlimen.

Satu pungutan pendapat dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) secara elektronik mendapati sebahagian besar rakyat negara ini menolak apa-apa usaha mengisytiharkan darurat.

Pungutan pendapat itu juga menunjukkan bahawa Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim lbih dipilih menjadi perdana menteri berbanding Muhyiddin.  

Sementara itu, Shamsul Iskandar menegaskan bahawa  pentadbiran Muhyiddin seharusnya mengurus isu krisis keyakinan diuruskan mengikut jalur Perlembagaan dan undang-undang dan Muhyiddin wajar meletak jawatan.

Selesai krisis ikut perlembagaan


"Oleh kerana mengadakan pilihan raya bukan satu pilihan ketika wabak Covid-19 sedang melanda, Tan Sri Muhyiddin mesti meletakkan jawatan.


"Penukaran Perdana Menteri dan kerajaan semasa wabak Covid-19 sedang melanda bukan sesuatu yang mustahil dilakukan. Ini ditunjukkan oleh Azmin Ali (Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), dengan Langkah Sheraton beliau yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)," katanya.

Sementara itu, Shamsul Iskandar turut mengingatkan krisis keyakinan dihadapi rakyat terhadap PN dapat diselesaikan. Anwar ketika ini jelasnya telah memperoleh keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia.

"Kini masanya untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengembalikan mandat rakyat dan membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments