PKPD: Pulau Pinang lulus peruntukan RM115,984


PERUNTUKAN berjumlah RM115,984 telah diluluskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan Kuarters Jabatan Penjara di Geeorgetown.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, peruntukan itu bagi tujuan penyediaan makanan dan minuman serta kelengkapan perubatan kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang serta pasukan-pasukan keselamatan bertugas selain penyediaan bakul makanan masing-masing bernilai RM100 kepada keluarga kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang.

Peruntukan tersebut juga menurut beliau akan turut digunakan untuk mendirikan pangkalan perubatan (Medical Base) kepada petugas-petugas perubatan di kawasan PKPD.

"Lanjutan daripada pelaksanaan PKPD melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri yang mana kawasan liputannya telah diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dua hari lalu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM115,984 untuk membantu mereka yang terlibat.

"Peruntukan ini disalurkan pada tempoh PKPD berkuat kuasa 15 Oktober hingga 27 Oktober 2020.

Peruntukan untuk petugas dan keluarga


"Ia meliputi penyediaan makanan dan minuman kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang, anggota serta pegawai PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia bertugas," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, Kon Yeow turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan sumbangan diperlukan dalam meringankan beban ditanggung pihak-pihak berkaitan.




Post a Comment

0 Comments