Perbicaraan kes wang haram Rosmah pada Disember


HAKIM Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Disember hadapan untuk pengurusan kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM7,097,750 melibatkan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.

Tarikh itu ditetapkan hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar kedua-dua kes itu, selepas timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn memaklumkan yang pendakwa raya dalam kes rasuah Rosmah, dijangka melengkapkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid untuk sekolah pedalaman Sarawak yang sedang dibicarakan dapat dilengkapkan pada awal November.

“Baiklah, kita tetapkan 2 Disember untuk pengurusan kes,” kata Hakim.

Perbicaraan kes rasuah terlebih dahulu telah ditetapkan untuk diteruskan Isnin depan, dengan 2 lagi saksi pendakwaan dijangka memberikan keterangan.

Sebelum ini, mahkamah menangguhkan pendengaran kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN yang dikenakan terhadap Rosmah.

Kes itu pada awalnya ditetapkan bermula pada Mei, ditangguhkan bagi memberikan keutamaan kepada perbicaraan kes solar hibrid, yang sedang berjalan.

Rosmah pada Oktober tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750.

Dia turut berdepan 5 pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Rosmah sedang berdepan kes rasuah
Pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan bagi kesalahan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, untuk mengemukakan suatu penyata bagi tahun taksiran antara 2013 dan 2017 kepada ketua pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018, dengan tiada sebab yang munasabah bertentang dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Post a Comment

0 Comments