MALAYSIA memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan dapat membentuk dasar-dasar baharu bukan sahaja bagi menjayakan usaha melawan Covid-19, malah menangani isu ekonomi akibat pendemik itu.
Pandangan itu disuarakan Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) melalui presidennya Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan.
Jelas Mohd Parid, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dapat dianggap sebagai sebuah kerajaan tidak stabil dan berada di hujung tanduk kerana sentiasa tercabar keabsahannya dan Muhyiddin sendiri terancam dengan undi tidak.
“Situasi ini tidak memungkinkan kerajaan bertindak dengan berkesan dalam menangani kemelut ekonomi dan pandemik Covid-19,” kata beliau.
Tambah Mohd Parid, tindakan ahli-ahli politik dalam merebut kekuasaan melalui proses tawar-menawar yang berlarutan sejak negara mula dilanda pandemik Covid-19 adalah amat memualkan dan dikesali.
“Ahli-ahli politik tidak seharusnya menggadaikan maruah diri dan pilihan rakyat untuk kepentingan peribadi atau parti politik masing-masing.
"Wakil rakyat dipilih untuk melaksanakan amanah kepimpinan negara untuk kesejahteraan rakyat.
“Masa depan rakyat dan negara kini tidak menentu kerana mainan politik dan perebutan kuasa yang keterlaluan semenjak bulan Februari yang lalu,” katanya dipetik laporan yang disiar Malaysiadateline.
PN tidak stabil, kata Ikram |
BACA: GLC: Harapan dakwa Muhyiddin cuba selamatkan diri
BACA: AMK selesai buat laporan polis terhadap Muhyiddin
Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa dia pernah ditawarkan jawatan ssebagai penasihat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Petronas oleh Muhyiddin yang juga adalah perdana menteri namun menolaknya kerana menganggap tindakan itu sebagai 'sogokan politik'.
Sementara itu, melalui kenyataan serupa Ikram Malaysia menyarankan lima perkara untuk dilaksanakan iaitu:
1. Ahli-ahli politik segera menamatkan kemelut politik yang melanda dan berusaha mengembalikan kestabilan kerajaan berlandaskan lunas undang-undang negara melalui tatacara di parlimen;
2. Kepentingan rakyat dan negara perlu menjadi pertimbangan paling utama dalam mencapai kata sepakat dalam kalangan ahli-ahli politik. Kepimpinan negara hendaklah diterajui oleh mereka yang benar-benar ikhlas, berwibawa, bermaruah, berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat;
3. Ahli-ahli politik perlu bersedia membuat rundingan berbentuk kerjasama (collaborative) demi mewujudkan kerajaan yang stabil. Perbezaan-perbezaan di antara parti-parti politik hendaklah diketepikan demi memelihara kepentingan negara tercinta;
4. Pilihan raya mengejut (snap election) hendaklah dielakkan kerana ia bukan jalan penyelesaian buat masa ini. Malahan, ia dijangka membawa lebih banyak kemudaratan. Cukuplah pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini yang telah mengakibatkan negara kini dilanda gelombang ketiga wabak Covid-19.
5. Semua rakyat bermunajat dan memanjatkan doa agar Malaysia dikurniakan kepimpinan yang berwibawa dan mampu membawa negara keluar daripada kemelut politik, pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
0 Comments