YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan media oleh Istana Negara lewat petang ini.
Tambah kenyataan itu, keputusan itu dibuat setelah Agong selepas berbincang dengan raja-raja Melayu dan melihat situasi semasa di dalam negara.
"Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh YAB perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis mengadap di Istana Abdul Azizi, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.
"Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan persekutuan untuk memerangi ancaman Covid-19 di negara ini.
Agong yakin Covid-19 boleh ditangani |
Kerajaan pimpinan Muhyiddin sebelum ini dikritik kerana cuba mendapatkan pengisytiharan tersebut. Sebahagian pihak beranggapan ia bagi kelangsungan politik Presiden Bersatu itu.
Pungutan pendapat dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) turut mendapati sebahagian besar rakyat Malaysia menolak cubaan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda merasai kegelisahan rakyat berhubung peningkatan mendadak kes berkaitan wabak Covid-19.
Sehubungan itu baginda menyeru semua rakyat untuk bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam memerangi wabak tersebut.
"Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak tersebut," kata kenyataan Istana.
0 Comments