Oleh MOHD SAYUTI OMAR | Malam tadi telah berlangsung satu dialog atau wawancara bertema Malaysia Baru yang dihostkan oleh Senator Husam Musa. Kerana ada urusan lain saya tidak sempat mengikutinya. Cuma baru sekejap tadi saya membaca rumusan ataupun intipati wawancara berkenaan yang dicatat oleh Dr Hafidzah Mustakim.
Dalam catatan itu Dr Hafidzah membahagi kandungan atau segmen wawancara Husam itu kepada tiga bahagian besar, Cabaran Malaysia, Malaysia Baru, dan Langkah Ke Hadapan.
Seperti
mana catat Dr Hafidzah, bagi Husam cabaran besar dihadapi Malaysia kini
ialah kekosongan kepimpinan baik dalam negara maupun parti selepas
berlakunya krisis dalam HARAPAN sehingga runtuhnya kerajaan berkenaan.
Risiko
atau bahana itu mengundang cabaran untuk membina semula Malaysia.
Sehubungan itu Husam mengemukakan pandangan agar Malaysia ini diserahkan
kepada kepimpinan baru yang lebih terarah kepada khususnya dari
kalangan generasi muda yang lebih berintegriti dan bersemangat.
Beliau
menyebut kepimpinan sebelum ini dibawah Dr Mahathir Mohamad tidak lagi
menjamin kesuksesan membina Malaysia baru kerana stail autokrasinya yang
sudah gagal. Bahkan kehancuran kerajaan HARAPAN disebabkan oleh stail
kepimpinan lama beliau itu yang bersifat diktator demokrasi. Dr Mahathir
menyimpan dua wajah dalam satu batang tubuhnya, diktator di malam hari dan demokrasi di siang hari. Huhss...
Bagi Husam kepimpinan gaya Mahathir adalah tidak menyumbangkan kepada perdamaian dan kemajuan negara bila mana bekas PM dua kali itu lebih suka bergaduh daripada mencari perdamaian dan keharmonian. Husam menyebut bagaimana Dr Mahathir tidak pernah berhenti daripada bergaduh sejak dulu hingga sekarang.
Justeru
Malaysia Baru akan dibina oleh generasi baru, kepimpinan bentuk baru
dengan mengetengahkan corak kepimpinan perdamaian yang menjadi kontra
dengan gaya Dr Mahathir Mohamad itu. Kepimpinan perdamaian ini menurut
Husam ia boleh dipanggungi oleh Anwar Ibrahim berdasarkan karektornya
yang mana lebih terbuka, sedia memaafi sesiapa sahaja.
Beza kepimpinan Mahathir dan Anwar.
Husam
menyebut dan membandingkan sikap kepimpinan Mahathir dan Anwar yang
sangat berbeza. Mahathir suka cari gaduh berbeza dengan Anwar yang boleh
memaafkan sesiapa sahaja. Sebagai bukti walaupun Anwar teraniaya,
terseksa sampai di penjara di era Mahathir tetapi beliau (Anwar) boleh
memaafkan Mahathir demi rakyat apabila sanggup untuk menerima Mahathir
untuk bersama HARAPAN dan kemudian dipersetujui diangkat pula menjadi perdana
menteri.
Dalam era melangkah ke Malaysia baru
ini, menurut Husam ia juga memerlukan kepada konsolidasi politik.
Konsolidasi ini penting ia merupakan kerjasama bukan sahaja di kalangan
individu politik tetapi mencakupi parti-parti politik juga. Dalam
hambatan dengan berbagai cabaran ini bagi Husam konsolidasi ini sangat
bermakna. Sebab itu beliau bukan sahaja menjadi perundingan kepada
"perdamaian" antara Anwar dengan Mahathir tetapi juga mencadangkan
perdamaian dengan PAS, dimana PAS perlu memikir sama kepentingan
konsolidasi ini demi pengukuhan politik Melayu dan Islam.
Bagaimana pun beliau menyebut rupa konsolidasi itu bukan seperti mana yang hendak atau dianjurkan oleh ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah
yang kini "dijualjaja murah" akan jadi perdana menteri interim.
Konsolidasi Tengku Razaleigh itu lebih untuk mendapatkan kuasa dan
kedudukan.
Tengku Razaleigh menurut Husam
sanggup dan sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir dan meninggalkan Anwar
Ibrahim dan cara itu tidak tepat. Sebaik-baik konsolidasi kata Husam
yang terarah kepada kekuatan atau membina ekonomi negara daripada
kepentingan kuasa. Tengku Razaleigh perlu membawa Malaysia keluar
daripada kemelut ekonomi sekarang ini menggunakan kepakaran yang ada.
Prinsip Kintsugi.
Dalam
banyak mauduk dibawa Husam dalam wawancara itu paling menarik gesaannya
agar rakyat negara ini khasnya orang politik melihat kepada prinsip
Kintsugi yang menjadi amalan orang-orang Jepun. Menerusi prinsip ini
macam mana orang Jepun berjaya memperbaiki sesuatu (barangan tembikar)
yang sudah retak dan pecah dicantumkan semula sehingga menjadikan ia
bernilai tinggi.
Cerita Husam orang Jepun tidak membuang barang-barang tembikar terpakai atau yang sudah pecah begitu sahaja, sebaliknya mereka akan ambil dan cantum semula. Cantuman itu penuh kreativiti dibuat begitu indah dengan menggunakan emas sebagai bahan pencantum. Setelah ia siap bekas cantuman itu akan terserlah benang emas yang indah, menyebabkan barang itu bernilai lebih mahal daripada yang sedia.
Nah, kata Husam negara ini sedang mengalami perpecahan dalam segala hal; kemasyarakatan, kepimpinan,
politik, agama dan sebagainya yang mana kerana perpecahan ini
menjadikan Malaysia parah. Perpecahan ini juga dikeranakan oleh kegilaan
manusia politik kepada kuasa.
Beliau memberi contoh apa yang berlaku di Sabah, kerana orang politik khasnya perdana menteri Muhyiddin Yassin mahukan kepada kuasa, menjamin kekuatannya, kerajaan Warisan di Sabah diganggu sehingga menyebabkan terpaksa diadakan Pirane
- pilihan raya negeri. Natijah daripada itu apa yang berlaku kini,
Sabah dibaham Covid yang parah mencatat jumlah kes tertinggi dalam
beberapa hari ini.
Dari pemikiran dan prinsip
Kintsugi tadi Husam yakin perpecahan dan keretakan yang berlaku dalam
serba aspek kini dapat dibaikpulihkan dan ia akan kembali meletakkan
Malaysia di panggung kecemerlangan seperti dahulu.
Apa
yang menjadi persoalan kini, siapakah sedia mengamalkan prinsip
Kintsugi itu? Siapakah arkiteknya? Atau siapakah yang memiliki seni
kemahiran dan kreatif Kinsugi yang hebat itu? Pemimpin-pemimpin sebelum
ini (yang jadi PM), tidak seperti kurang memiliki seni kemahiran
berkenaan kerana itu negara di bawah mereka berpecah dan
bercemperaian.
Najib Razak, Dr Mahathir
Mohamad dan kini Muhyiddin Yassin seperti tidak memiliki bahkan tahupun
mengenai prinsip canggih dan indahnya seni Jepun itu. Kalau Muhyiddin
mengetahuinya pasti beliau tidak akan memecahkan kerajaan HARAPAN sebelum
ini. Begitu juga dengan Najib jadi pemecah sampai kerajaannya berusia 61
hancur lebur. Dr Mahathir kerajaannya berusia 22 bulan tumbang dan kini
kerajaannnya PN sedang menanti hari untuk binasa?
Sekali
lagi, ditanya siapakah kini mempunyai prinsip seni Kintsugi itu? Saya
tidak nampak ada sesiapa yang boleh mewarisi dan menghayati prinsip
Kintsugi itu buat masa ini melainkan dua orang sahaja, Anwar Ibrahim dan Husam Musa
sendiri. Ciri-ciri ini terserlah kepada iltizam dan nawaitu mereka,
mencintai bangsa, benci perpecahan dan berusaha mendamai dan menyatukan
ada kepada Anwar.
Begitu juga dengan Husam
apabila beliau tahu dan arif bercakap mengenai prinsip Kintsugi itu,
bercakap mengenai ruginya politik perpecahan dan merindui politik
penyatuan, maka sudah tentu beliau ada keazaman dan iltizam tinggi untuk
mempraktikannya. Husam mempunyai imbauan yang tinggi untuk kebaikan
negara sehingga melupai sempadan sengketa.
![]() |
Anwar dan Husam antara pemimpin terbaik |
Makanya,
apa salahnya kalau kita memberi harapan dan meletakan impian ini mereka
berdua. Biarlah mereka berdua mengutip, mengumpul serpihan perpecahan
yang berlaku kini kemudian mereka disatukan menerusi prinsip Kintsugi
itu, dengan itu Malaysia nanti akan kelihatan indah dan nilainya lebih
mahal daripada sebelum ini.
ialah penganalisis politik dan penulis beberapa naskah berkenaan politik Malaysia
Artikel ini disiarkan di laman blog penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia.
ialah penganalisis politik dan penulis beberapa naskah berkenaan politik Malaysia
Artikel ini disiarkan di laman blog penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia.
0 Comments