Hala tuju k'jaan Muhyiddin lindungi pekerja dipersoal


PENTADBIRAN Muhyiddin Yassin akan gagal menangani isu kehilangan kerja yang semakin memburuk akibat penularan Covid-19 sekiranya terus bermain politik.

Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan laporan daripada pelbagai pihak, lebih 51,000 kedai runcit di negara ini akan ditutup dalam empat hingga lima bulan ke depan akibat kesan awal Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan perniagaan mula beralih ke e-dagang.

"Sektor peruncitan mungkin menghadapi penguncupan sistemik dalam jangka waktu tertentu kerana berkaitan dengan industri pelancongan yang paling terjejas akibat krisis Covid-19.
"Ini secara langsung boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan melebihi 150,000 pekerja," jelasnya.

Justeru kata Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, kerajaan perlu mengambil tindakan segera mencari strategi yang berkesan untuk menyelamatkan industri ini dan golongan pekerja.

Kulasegaran bimbang
Malangnya tegas Kulasegaran, hala tuju kerajaan dalam isu itu masih samar.

"Kerajaan begitu sibuk merancang pengambilalihan Sabah dan merancang untuk menyelamatkan majoriti tipisnya di Parlimen sehingga meninggalkan kebajikan pekerja dan perniagaan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai subsidi upah bernilai AS$3.21 bilion (RM13.8 bilion) yang diumumkan pentadbiran Muhyiddin, Kulasegaran menyifatkannya sebagai tidak menyeluruh.

Singapura yang memperuntukkan subsidi AS$14.6 bilion (RM60.53 bilion) dilihat lebih berusaha menangani kesan ekonomi rakyatnya apabila peruntukan itu akan merangkumi semua pekerja

"Di Malaysia hanya mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 layak mendapat subsidi gaji. Kelas profesional dan teknikal yang merangkumi 59 peratus daripada kehilangan pekerjaan, tidak dilindungi," jelasnya.




Post a Comment

0 Comments