Malaysia catat jumlah tertinggi jangkitan harian sekali lagi


HARI
ini, Malaysia mencatatkan kes tertinggi positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam apabila 869 kes baru direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes baru itu ialah jangkitan tempatan yang membabitkan 745 warganegara dan 124 warga asing.

Sabah terus mencatatkan kes terbanyak dengan 451 kes, diikuti Pulau Pinang (189), Selangor (159), Kedah (38) dan Kuala Lumpur (15).

Manakala Sarawak dan Perak masing-masing mencatatkan 4 kes, Terengganu (3), Johor (2), Putrajaya (2), Negeri Sembilan (1) dan Melaka (1), kebanyakannya dikesan daripada kluster aktif atau saringan kontak rapat.

Menurutnya, 90% kes baru itu dilaporkan dari kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan penjara.

M'sia berdepan ujian sukar sekali lagi
Dengan perkembangan itu, Malaysia kini mencatatkan 19,627 kes positif Covid-19 yang direkodkan.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan 4 lagi kematian direkodkan hari ini. Ia menjadikan keseluruhan mangsa terkorban akibat wabak itu ialah seramai 180 orang.

Kematian hari ini membabitkan 3 warganegara, iaitu 2 lelaki dan seorang wanita berusia 71 hingga 88 tahun serta seorang warga asing lelaki berusia 53 tahun dan kesemua kematian direkodkan di Sabah.

Seramai 6,886 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara, dengan 30 daripada 91 orang yang ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Seramai 302 pesakit sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan 12,561 atau 64% kes pulih.
 

Post a Comment

0 Comments