K'jaan digesa gubal undang-undang lompat parti


MAJLIS PEGUAM
sekali lagi mendesak supaya undang-undang anti lompat segera digubal.

Melalui satu kenyataan, Majlis peguam menggesa kerajaan membincangkan keperluan undang-undang bagi menghalang ahli Parlimen daripada beralih parti semasa persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

“Majlis Peguam berpandangan bahawa tidak ada sekatan bagi Parlimen untuk menggubal undang-undang anti lompat parti di peringkat persekutuan, meskipun ia bercanggah dengan keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan menentang Nordin bin Salleh dan seorang lagi.

“Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan.

“Namun turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10(2) ialah Parlimen, melalui undang-undang, boleh mengenakan sekatan yang dianggap perlu atau bermanfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian daripadanya, ketenteraman awam atau moral.

“Kami berpendapat bahawa beralih parti selepas diundi rakyat merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

“Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara kita,” menurutnya Presidennya Salim Bashir dalam kenyataan.

Sementara itu jelas Salim undang-undang anti lompat parti adalah mustahak untuk memperkukuh kestabilan politik dan kepercayaan umum terhadap proses demokratik, selain tidak menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

Tindakan melompat parti atau berpaling tadah sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen seharusnya dijadikan satu perbuatan yang tidak sah bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan integriti perlembagaan, katanya.

Majlis peguam gesa bincang di Dewan
Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, Perlembagaan perlu dipinda bagi membolehkan akta yang menggugurkan ahli Parlimen daripada kerusinya dibuat.

Ahli Parlimen dari PAS itu memberi alasan bahawa Perkara 10(1)(c) jelas menyatakan kebebasan individu untuk berpersatuan.

Susulan kenyataan itu, Ahli Parlimen KEADILAN, Hassan Abdul Karim, berkata sebaliknya dengan menegaskan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekatan ke atas gejala lompat parti.

"Ini boleh ditafsirkan bahawa Perkara 10(1)(C) bukanlah muktamad. Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen Malaysia membenarkan gejala lompat parti di kalangan ahli-ahli Parlimen atau Adun-Adun semacam aksi katak di bawah Fasal (2)(C) untuk digubal satu akta anti lompat parti demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya ketenteraman awam atau prinsip moral.

"Jika isu keperlembagaan ditimbulkan sebagai alasan untuk menghalang penggubalan akta anti lompat parti, maka dinasihati supaya Perkara 10(1)(C) hendaklah dibaca sama dengan Fasal 2 (C).

"Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin mempunyai keazaman politik untuk menggubal akta lompat parti," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Sebagai rekod, Pulau Pinang pada 2012 telah meluluskan  Rang Undang-undang untuk menyekat wakil rakyat di negeri  itu daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi.

 

Post a Comment

0 Comments