KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) digesa secara terbuka mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, langkah melonggarkan kebenaran itu sangat perlu bagi meringankan beban golongan yang tiada pekerjaan mahupun kehilangan pekerjaan yang tertekan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Ia menurutnya mampu menyelamatkan institusi kekeluargaan.
Sekiranya golongan itu tidak dibenarkan mengeluarkan caruman mereka, ia dibimbangi akan mendorong golongan tersebut meminjam dengan pemberi pinjaman tidak berlesen (ah-long) disebabkan terhimpit untuk meneruskan kehidupan harian.
“MTUC berpendapat daripada mereka meminjam, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran tersebut.
“Kaedah ini dapat mengurangkan beban ekonomi pekerja terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian di samping menggunakan dana yang dikeluarkan ini sebagai modal perniagaan perniagaan untuk menyara hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, kaedah tersebut juga dilihat mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat apabila sebuah petisyen yang dibuat menunjukkan lebih 15,000 orang bersetuju untuk pengeluaran akaun satu KWSP.
MTUC gesa bincang |
0 Comments