PENTADBIRAN Muhyiddin yassin digesa menangguhkan terlebih dahulu pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan akan dibawakan ke Dewan Rakyat Jumaat depan.
Gesaan itu disuarakan pemimpin veteran dari DAP, Lim Kit Siang yang menasihati Muhyiddin agar mendengar terlebih dahulu cadangan berhubung rang undang-undang perbekalan itu sebelum membawanya untuk dibahaskan.
"(Ini bagi membolehkan) Belanjawan 2021 dapat memasukkan cadangan baik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan HARAPAN untuk memastikan bahawa Belanjawan 2021 dapat diterima oleh Parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Muhyiddin dikritik ramai kerana cuba mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mengisytiharkan proklamasi darurat.
Pengkritik mengaitkannya sebagai 'tindakan politik' bagi menghalang tindakan 25 Ahli Parlimen mencabar keasbahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri melalui usul tak percaya.
Usaha itu turut didakwa ada kaitan dengan khabar angin bahawa Ahli Parlimen mahu menolak belanjawan dibentangkan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin digesa jangan terburu-buru |
Sebelum ini banyak pihak termasuk dari ahli ekonomi dan akademik menggesa Muhyiddin berbincang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia bagi memastikan belanjawan yang akan dibentangkan dapat diterima ramai.
Malah, Anwar sendiri menggesa Muhyiddin memulakan perbincangan secara 'bipartisan' dengan pembangkang mengenai Belanjawan tersebut.
Majlis Presiden HARAPAN kemudian menggesa agar perbincangan itu tidak ditangguhkan, mereka berpendapat bahawa belanjawan harus menumpukan kepada keperluan petugas barisan hadapan negara, mengenal pasti strategi baru untuk mengembangkan ekonomi dan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat wabak Covid-19.
0 Comments