MALAYSIA mencatatkan sebanyak 871 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam berakhir 12 tengah hari tadi.
Ia merupakan rekod tertinggi jangkitan harian dilaporkan sejak pandemik itu melanda di Malaysia berbanding 869 kes yang dilaporkan semalam.
Dengan perkembangan itu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini setakat kini ialah sebanyak 20, 498 kes.
Dalam sidang medianya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan 7 kematian baru direkodkan sepanjang tempoh sama. Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini kini seramai 187 orang.
Kematian terbaru membabitkan 6 pesakit di Sabah dan satu di Selangor, di mana 5 daripadanya ialah warganegara dan 2 lagi warga asing berusia 41 hingga 70 tahun.
Empat daripada pesakit itu mempunyai sejarah penyakit kronik, manakala 3 lagi tiada masalah kesihatan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa 866 daripada 871 kes baru hari ini membabitkan jangkitan tempatan dan 5 lagi kes import.
“Daripada 866 kes penularan di dalam negara, 2 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept ialah 443 kes,” katanya dalam sidang media hari ini.
![]() |
Makin membimbangkan |
Sabah terus merekodkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 702 kes baru dan Hisham berkata, lonjakan itu disebabkan sejumlah besar sampel ujian dari Sabah yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan.
Selangor mencatatkan 72 kes, diikuti Pulau Pinang (45), Perak (10), Labuan (9), Kedah (9), Kuala Lumpur (7), Sarawak (5), Negeri Sembilan (3), Terengganu (2), Johor dan Melaka masing-masing satu kes.
Hari ini seramai 701 pesakit dilaporkan sembuh, ini menjadikan keseluruhan 13,262 pesakit pulih.
Seramai 7,049 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara dengan 28 daripada 86 orang yang ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
0 Comments