SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengemukakan notis ke Dewan Rakyat bagi membahaskan isu pelanggaran kuarantin oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.
Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, notis itu dihantar bagi mendesak supaya pemimpin dari PAS itu dirujuk ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen.
"Saya telah memberi notis bahawa saya akan membangkitkan isu pelanggaran Khairuddin terhadap prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19 dalam mesyuarat Parlimen pada November," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Lim, tindakan Khairuddin melanggar arahan kuarantin setelah pulang dari Turki pada 7 Julai dan seterusnya hadir ke sidang Dewan Rakyat pada 13, 14 dan 16 Julai lalu dilihat satu tindakan yang mengancam "kesihatan dan nyawa ahli parlimen"
Sebelum ini, Khairuddin menjadi sasaran kemarahan rakyat apabila didedahkan tidak menjalani kuarantin tersebut.
Khairuddin kemudian didenda RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin.
Rakyat mempersoalkan mengapa seorang pemimpin bertindak demikian kerana mereka seharusnya menunjukkan contoh teladan kepada rakyat dalam memerangi Covid-19. Mereka turut mempersoalkan mengenai amalan pilih kasih apabila rakyat dikenakan denda lebih tinggi dan bahkan dipenjarakan kerana pelanggaran serupa.
Kenyataan beberapa pemimpin PAS yang mempertahankan Khairuddin turut dibidas termasuk dari Timbalan Presiden itu yang menyamakan Khairuddin seperti pemandu lori sayur yang menghantar bekalan makanan menambah kemarahan rakyat terhadap pentadbiran diketuai Muhyiddin.
Polis kemudian memaklumkan kertas siasatan mengenai keingkaran pemimpin PAS itu terhadap undang-undang berkaitan pencegahan penyakit berjangkit itu telah dibuka. Namun sehingga kini belum ada keputusan mengenai apakah Khairuddin akan didakwa di mahkamah.
Difahamkan, sekiranya Khairuddin dihadapkan ke Mahkamah dan dijatuhkan hukuman, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mungkin kehilangan kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat sekaligus menyebabkan jumlah sokongan di miliki Muhyiddin semakin kritikal.
![]() |
Lim Kit Siang hantar usul ke Parlimen |
Bagaimanapun jumlah itu semakin diragui kebelakangan ini apabila Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa telah berjaya mendapat sokongan lebih dari mencukupi bagi mengambil alih pentadbiran yang turut disokong kenyataan yang seakan-akan mengesahkan perkara itu termasuk dari Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
0 Comments