Hafizh mahu bangkit pada baki 5 perlumbaan

 



HAFIZH  Syahrin Abdullah nekad mahu menampilkan aksi kompetitif pada baki lima pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia 2020 bermula di Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini.

Pelumba mewakili pasukan Aspar Team dalam kelas Moto2 itu berkata, dia merasa optimis untuk berada dalam kelompok depan di Litar MotorLand Aragon yang menjadi lokasi perlumbaan dua minggu berturut-turut.

"Saya fikir kami mampu berada di posisi depan tetapi kami perlu menganalisa maklumat yang diterima terlebih dahulu. Apa yang boleh digambarkan, kami berada di landasan tepat.

Hafizh mahu jadi kompetitif
"Jadi, saya akan cuba menjadi kompetitif, ada lima lagi baki perlumbaan dan saya mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan serta semua yang menyokong saya," katanya.

Walaupun sebelum ini berdepan masalah setup jentera, Hafizh menunjukkan prestasi membanggakan apabila menamatkan perlumbaan GP Perancis hujung minggu lalu sekaligus mengutip satu lagi mata selepas menduduki tempat ke-15.

Hafizh yang kembali beraksi dalam kelas Moto2 tahun ini, kini berada di tangga ke-19 keseluruhan carta pelumba Moto2 dengan 18 mata. Penamat terbaiknya di GP Sepanyol, Julai lalu apabila melepasi garisan penamat di tempat keenam.

 

Post a Comment

0 Comments