Covid-19: Anwar gesa bantu rakyat Sabah, lanjut moratorium


PENTADBIRAN Muhyiddin Yassin digesa segera memberi bantuan kecemasan kepada negeri Sabah yang kini terperangkap dalam pendemik Covid-19.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam gesaannya berkata, bantuan kecemasan itu mungkin boleh disalurkan kepada rakyat di negeri itu dalam bentuk kewangan atau bekalan makanan terutama kepada mereka yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Anwar turut meminta kementerian lain dengan seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggerakkan pasukan dan kelengkapan perubatan ke Sabah secara meluas tanpa mengharapkan ia diurus Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.

Anwar turut menyatakan kebimbangan beliau berikutan jumlah kematian yang tinggi di Sabah.

"Seperti semua rakyat Malaysia yang lain, saya turut bimbang dan terkesan dengan kadar penularan Covid-19 yang mendadak di Sabah dalam tempoh tiga minggu lalu.

"Apa yang meresahkan lagi adalah angka kematian dikalangan pesakit yang dijangkiti virus tersebut sangat tinggi. Dengan perkembangan ini ada beberapa perkara yang memerlukan penjelasan dari kerajaan," tegas presiden KEADILAN itu.

Gesa lanjut moratorium ringan beban rakyat
Sebagai usaha memerangi Covid-19, Anwar turut mahu kerajaan melancarkan saringan secara besar-besaran bagi mengekang penularan Covid-19 seperti dicadangkan beberapa pakar sebelum ini.
 
“Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain.

“Adalah sangat penting bahawa segala data mengenai kes, pengujian dan kadar kematian dibagikan secara terbuka dengan pakar-pakar dan pegawai-pegawai kesihatan yang bekerjasama dengan pemerintah dalam mengekang wabak ini.

"Kekurangan maklumat akan menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara daripada memberikan bantuan dan kepakaran yang mereka ada. Dasar dan kebijakan maklumat yang terbuka akan meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutama dalam suasana pandemik saat ini,” katanya.


Jangkitan Covid-19 hari ini dilaporkan melebihi 800. Semalam 865 kes baharu dengan 858 daripadanya kes tempatan dengan setakat kini lebih 21,000 kes telah dilaporkan.

Peningkatan mendadak itu menyusul kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan susulan percubaan menjatuhkan kerajaan negeri Warisan diketuai Shafie Apdal sebelum ini.

Rakyat menyalahkan ketidaktegasan kerajaan dalam melaksana perintah kuarantin wajib 14 hari sebagai punca pendemik itu kembali mengganas.

Sementara itu, Anwar turut sekali lagi membuat gesaan supaya kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bagi meringankan membebankan rakyat negara ini terutama golongan B40 dan M40 yang terbeban dengan pendemik Covid-19.

Langkah tersebut jelasnya penting bagi memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup.

"Saya mengulangi gesaan saya sebelum ini pada kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan PKS di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.


Post a Comment

0 Comments