PEMIMPIN parti politik orang India, MIC dilapor tidak berpuas hati dengan kaedah pengagihan jawatan dalam kerajaan negeri Kedah diterajui PAS.
Pengerusi MIC Kedah, S Ananthan dilapor merasa kurang senang setelah kumpulan penyokong Mohammed Azmin Ali - dikenali sebagai Penggerak Komuniti Negara (PKN) - menyertai parti Bersatu.
Susulan keputusan itu kata Ananthan, PKN tidak lagi relevan mendapat kuota jawatan dalam kerajaan negeri.
"Maka, jawatan-jawatan yang diberikan kepada kumpulan mereka (PKN) perlu di kaji semula," katanya dipetik laporan Malaysiakini.
PKN merupakan pertubuhan yang menyokong Azmin yang sebahagian besarnya disertai pemimpin KEADILAN yang berpaling tadah . Ia yang diramalkan akan didaftarkan sebagai parti politik akhirnya menyertai Bersatu pada Ogos lalu.
Turut ikut serta menyertai Bersatu ialah pertubuhan lain dikaitkan dengan Azmin iaitu Nation of Women (NOW), Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara.
![]() |
S Ananthan tidak puas hati |
Beliau memberi contoh bagaimana ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah ditubuhkan, kumpulan itu mendapat 35 tempat sebagai ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kemudian mencetuskan rasa kurang senang dikalangan ahli parti lain dalam Barisan Nasional (BN) Kedah.
Menurut Ananthan dengan 35 tempat dalam PBT Kedah ketika ini, Bersatu pula mendapat 48 tempat menjadikan jumlah keseluruhan ialah 83 orang berbanding PAS yang hanya ada 60 kerusi walaupun menjadi ketua kerajaan.
Untuk bahagian BN pula, katanya, hanya ada 50 kerusi dan daripada jumlah itu MIC mendapat empat tempat.
"Begitu juga jawatan dalam badan baru Jawatankuasa Penggerak Komuniti Tempatan (JPKT) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahaan dan Kerajaan Tempatan. Satu pun tidak diberikan kepada MIC.
"Jadi, MIC mahu kerajaan negeri kaji semula hal ini. Kami mahu diberikan 13 kerusi untuk PBT seperti zaman BN, manakala untuk JPKT kami mahu sekurang-kurangnya 30 kerusi," katanya.
Kumpulan itu menurut Ananthan sekali lagi menyebabkan rasa kurang senang dikalangan ahli BN apabila mereka mahu dakwanya menuntut dua kerusi DUN di Kedah untuk ditandingi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dua kerusi Ia merupakan kerusi tambahan daripada empat kerusi yang dipohon Bersatu sebelum ini.
0 Comments