Kes Covid-19 kembali catat dua angka


KEMENTERIAN
Kesihatan memaklumkan 14 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini.

Kes baru itu merangkumi 10 penularan tempatan dan selebihnya adalah kes jangkitan luar negara.

"Daripada 10 kes penularan tempatan, enam membabitkan rakyat tempatan dan empat lagi warga asing.

"Empat kes penularan tempatan dikesan di Kedah, masing-masing tiga kes daripada Kluster Tawar dan satu kes daripada Kluster Telaga.

"Dua kes tempatan turut direkodkan di Sabah daripada Kluster Benteng Lahad Datu," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, empat kes import membabitkan dua rakyat tempatan dan dua warga asing.

"Tiga kes import ialah dari Singapura, masing-masing dua dicatatkan di Negeri Sembilan dan satu di Johor, manakala satu lagi kes import berasal dari Filipina serta dikenal pasti di Kuala Lumpur," jelasnya.

Dengan perkembangan itu, jumlah kes positif di Malaysia kini meningkat kepada 9,374 kes.

Manakala 4 kes dilapor sembuh hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh ialah sebanyak 9.083 kes (96.9 peratus)

Setakat ini 163 kes dengan kebolehjangkitan telah diasingkan dan dirawat, tiada kematian terbaru dicatatkan dengan angka korban kekal 128 orang.