Covid-19: 4 buah masjid sekitar Kuantan ditutup sementara


EMPAT buah masjid di sekitar daerah Kuantan, Pahang diarahkan tutup sementara oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Arahan itu dibuat susulan seorang jemaah di kawasan itu dijangkiti Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Empat masjid terbabit ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukit Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid al-Hidayah Paya Besar.

Menurut Norolazali, penutupan empat masjid berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force Jumaat lalu. Keputusan penutupan sementara itu dibuat bagi mengelak berlaku penularan atau jangkitan kes di sekitar kawasan terbabit.

"Walaupun berat keputusan itu, namun demi keselamatan masyarakat setempat kerajaan terpaksa mengambil langkah pencegahan awal supaya ia tidak menjangkiti dan merebak pada pihak lain.

"Saya berharap masyarakat tidak terlalu cemas berikutan terdapat kes Covid-19 di daerah ini dan Jerantut kerana KKM serta agensi berkaitan sudah mengambil langkah pencegahan seperti yang ditetapkan," katanya dipetik.

Diarah tutup sementara


Norolazali berkata, masyarakat diingatkan supaya terus mengamalkan normal baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, menjaga kebersihan dan tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai.


Sementara itu Pengerusi MSAS Sungai Isap, Dr Sharafuddin Aisa Osman berkata, penutupan sementara MSAS dibuat selepas mendapat arahan daripada Pejabat Kadi Daerah Kuantan, Jumaat lalu.

Katanya, solat fardu dan Jumaat serta semua bentuk aktiviti keagamaan ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
 

Post a Comment

0 Comments