Saksi dakwa menteri Umno mahu habuan dari projek solar


SEORANG saksi dalam perbicaraan kes rasuah terhadap isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor mendakwa Mahdzir Khalid ketika menjadi menteri pendidikan mahu mendapatkan "habuan" bernilai sekitar RM60 juta atas kelulusan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Dakwaan itu dibuat bekas rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak) Rayyan Radzwill Abdullah ketika pemeriksaan balas dengan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, Mahdzir berbuat demikan melalui individu bernama Md Fuad Yassin yang didakwa menjadi proksinya.

Akberdin: Disebabkan peranannya (Mahdzir) dalam projek ini, dia meminta 20 peratus daripada Jepak sebagai pertimbangan atau habuan atas bantuannya?

Rayyan: Ya, melalui kawannya Fuad Yassin.

Akberdin: Proksi dia, bukan?

Rayyan: Kawannya.

Akberdin: Encik Md Fuad Yassin.

Rayyan: Ya.

Akberdin: Memandangkan kuantum 20 peratus terlalu besar, dan (pengarah urusan Jepak) Saidi (Abang Samsudin) berkata (jumlah itu) tak boleh diterima, apabila perbincangan lanjut, 20 peratus itu dikurangkan kepada RM60 juta bagi tempoh lima tahun, atau RM1 juta sebulan?

Rayyan: Benar.
Berdasarkan laporan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 November 2108 mencari Fuad untuk membantu siasatan bagi kes melibatkan pembekalan diesel dan pemasangan panel solar di 369 sekolah di Sarawak.

Saksi pendakwaan ke-16 itu juga setuju dengan kenyataan Akberdin bahawa berdasarkan laporan media, Md Fuad telah menghilangkan diri dan masih diburu SPRM untuk membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, Rayyan berkata, dia menyediakan perjanjian bertulis untuk bayaran RM60 juta sekitar April 2016 dan mendakwa perjanjian itu melibatkan Saidi dan Md Fuad.

Akberdin: Adakah SPRM siasat anda dan Saidi berhubung (dakwaan) wang yang diminta Mahdzir?

Rayyan: Ya.

Akberdin: SPRM rekod kenyataan anda dan Saidi?

Rayyan: Tak pasti sama ada mereka rakam kenyataan (atau tidak), tetapi mereka hubungi (saya dan Saidi) untuk soal siasat beberapa kali.

Rayyan berkata dia tidak setuju dengan apa yang didakwa sebagai rasuah dalam projek itu dan malah membuat laporan polis berkenaannya.

Dengan suara tersekat-sekat, Rayyan mendakwa dia dan Saidi kemudian berselisih ekoran isu itu, terutama berhubung dakwaan persetujuan lisan antara mereka yang Rayyan akan mendapat RM10 juta selaku perunding projek.

"Semua kerja teknikal termasuk pembentangan, dibuat oleh saya. Sejak awal, saya tak setuju dengan tawaran dibuat kepada ahli politik tetapi Saidi (didakwa) berkata memang begitulah caranya (this is how things are done).

"Saya datang dari (latar belakang) setinggan, ada kala tiada bekalan elektrik. Berbanding beri (wang) kepada ahli politik, lebih baik beri kepada (penduduk) kawasan," katanya dari kandang saksi.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi sebagai habuan atas bantuan mendapatkan kontrak bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak menerusi rundingan terus.

Post a Comment

0 Comments