SEORANG pendaki berusia 24 tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Santubong, di Kuching, petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dipetik satu laporan berkata, sebelumnya difahamkan mangsa, Muhammad Hazwan Bakar mendaki gunung itu bersama dua rakannya, iaitu seorang lelaki dan wanita.
Namun pada kira- kira jam 5.20 petang, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan ada pendaki terkandas di puncak gunung itu selepas mangsa mengalami kesulitan.
Susulan itu, seramai 21 anggota dengan dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerah ke lokasi bagi memberi bantuan.
"Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri, tindakan awal diambil dengan memberi bantuan CPR namun tiada sebarang reaksi daripada mangsa," katanya.
Anggota penyelamat kemudiannya membawa mangsa turun dari puncak setinggi 810 meter itu melalui denai yang curam dan berbukit menggunakan pengusung.
Mereka tiba dikaki gunung kira-kira jam 9.16 malam dan Muhammad Hazwan kemudiannya telah disahkan meninggal dunia.
"Sebaik tiba di kaki gunung, pegawai perubatan membuat pemeriksaan lanjut dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
0 Comments