Tamrin Ghafar tempelak kenyataan Zuraida


ANAK
bekas Timbalan Perdana Menteri ke-6, Tamrin Ghafar menempelak Zuraida Kamaruddin susulan kenyataannya berhubung isu projek rundingan terus.

Menurut Tamrin, kenyataan Ahli Parlimen Ampang itu terhadapnya berniat jahat,  malah alasan diberi Zuraida kononnya projek itu diluar pengetahuannya sebagai seorang menteri adalah tidak masuk akal.

“Amat mustahil bagi seorang menteri tidak tahu langsung perkara tersebut sedangkan Kementerian Kewangan hanya bertindak mengikut rekomendasi KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Sebagai seorang menteri sepatutnya dia tidak membabitkan dan menyalahkan pihak lain di atas kegagalannya," tegas bekas Ahli Parlimen Batu Berendam itu.

Sebelum ini Zuraida mendakwa projek rundingan terus yang dianugerahkan kementeriannya ketika pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) dimulakan dan diluluskan sendiri oleh menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Zuraida merujuk projek Sisa Pepejal Taman Beringin bernilai kira-kira RM170 juta kepada syarikat Bumi Segar Indah dimana Tamrin adalah penasihatnya.

Dipetik laporan media, Zuraida, bekas pemimpin KEADILAN yang berpaling tadah itu mendakwa Tamrin telah mewakili syarikat Bumi Segar Indah bertemu Lim pada 28 Nov 2018.

Dakwanya, pada pertemuan itu Lim telah menasihatkan Bumi Segar Indah untuk menghubungi KPKT bagi membentangkan kertas cadangan formal.

"Seterusnya, projek tersebut diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Lim Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha (KSU) KPKT," katanya.

Difahamkan, Tamrin telah menyerahkan kepada peguamnya untuk meneliti dan mengambil tindakan perundangan terhadap tuduhan Zuraida itu. 

Adakah Zuraida Jahil?

Sementara itu, beberapa pemimpin HARAPAN mempersoalkan tuduhan Zuraida.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mempersoalkan sama ada Zuraida membayangkan kemungkinan KSU KPKT menulis surat permohonan untuk projek itu kepada Lim tanpa pengetahuannya.

"Atau adakah dia mendakwa Lim luluskan projek yang dibentang rasmi kepada KPKT tanpa pengetahuan menterinya?" soalnya di Twitter.

Lim dalam kenyataan menegaskan bahawa mustahil untuknya meluluskan permohonan projek itu tanpa pengetahuan Zuraida selaku menteri, kecuali terdapat salah laku di pihak KSU kementerian itu.

"Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak 'khianat' walaupun terhadap seorang menteri 'pengkhianat'" katanya sambil mempersoalkan sama ada Zuraida begitu "jahil" tentang perihal kementeriannya sehingga tidak tahu KSU telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan.

"Jika ia benar, maka Zuraida tidak layak, 'not fit and proper', untuk memegang jawatan menteri," tambahnya lagi.

 

Post a Comment

0 Comments