SEORANG Ahli Parlimen dari Bersatu mengkritik tindakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali yang ingkar arahan kuarantin diri.
Tegas Dr Noor Azmi Ghazali, tidak boleh ada tindakan dua darjat terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan wabak Covid-19.
“Dalam isu ini tidak ada dua darjat.
“Tidak ada yang atas terlepas, orang bawah terkena; tidak ada orang di atas tak kena tangkap, orang bawah kena gari... tak boleh macam itu," kata Timbalan Menteri Kesihatan itu dipetik Sinar.
Khairuddin sebelum ini didakwa tidak membuat kuarantin kendiri selama 14 hari sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan, seseorang yang baru tiba dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
Pada 13 Julai, ulama terkenal PAS itu hadir pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Agong dan Permaisuri kuarantin diri
Sebagai rekod, pada Mac lalu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri mencemar duli dengan menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari, selepas tujuh petugas Istana Negara dikesan positif COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Bagaimanapun ketika itu saringan kesihatan dan pengesanan Covi-19 dijalankan mendapati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disahkan negatif.
Tindakan Khairuddin itu mendapat perhatian meluas, rata-rata pengguna media sosial menyuarakan rasa marah terhadap tindakan Ahli Parlimen dari PAS itu.
Sebahagian mereka mempersoalkan apa yang didakwa sebagai layanan berbeza dengan orang biasa yang dikenakan tindakan selepas melanggar SOP.
Baru-baru ini seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.
Satu petisyen dalam talian nenuntut ahli Parlimen Kuala Nerus itu meletakkan jawatan turut dimulakan dan setakat pagi tadi telah mencecah 23,000 tandatangan.
Menteri Ghana letak jawatan
Sementara itu, Ketua Biro Perundangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Chiew Choon Man turut menggesa Khairuddin membuat permohonan maaf secara terbuka dan meletakkan jawatannya sebagai menteri serta-merta.
“Menteri (Khairuddin) sepatutnya mencontohi Menteri Kesihatan New Zealand dan Timbalan Menteri Ghana yang meletak jawatan selepas menerima kecaman susulan tindakannya yang melanggar perintah kuarantin.
“Perdana menteri juga boleh mengambil tindakan memecat Khairuddin untuk menunjukkan tekad beliau dan kerajaan dalam usaha menentang wabak Covid-19," katanya.
0 Comments