Hafizh Syahrin dan Super KIP tak berlumba di GP Styria


PELUMBA
Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa melupakan perlumbaan Grand Prix (GP) Styria hujung minggu ini selepas disahkan masih belum cergas untuk berlumba.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pelumba berusia 26 tahun itu malam tadi dan disokong kenyataan rasmi oleh pasukannya.

"Hafizh Syahrin disahkan kurang cergas untuk perlumbaan GP Styria dan dia akan cuba kembali berlumba semula pada GP San Marino (13 September)," kata Openbank Aspar Team di laman web rasmi mereka.

Sementara itu menurut Hafizh, beliau telah melakukan ujian bagi memastikan apakah mampu untuk berlumba hujung minggu ini, namun dinasihatkan untuk tidak menyertai perlumbaan.

Pelumba kelahiran Selangor itu sebelumnya menyuarakan hasrat untuk kembali ke Litar Red Bull Ring minggu ini dan berharap proses pemulihannya berjalan dengan baik.

"Bila buat ujian (test) tadi saya cuba tahan kesakitan itu, tapi tak boleh tahan kesakitan tu.

"Saya memang nak nak cuba, tapi tak boleh kerana saya kena berehat ," katanya.

Hafizh mengalami kecederaan setelah terlibat dalam kemalangan ngeri pada GP Austria minggu lalu apabila jenteranya merempuh jentera pelumba Italstran Racing Team, Eana Bastianini yang 'tersadai' di trek.

Susulan insiden itu, Hafizh dikejarkan untuk pemeriksaan kesihatan namun kemudiannya dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, pelumba pelumba MotoE, Alejandro Medina dilapor akan menggantikan tempat Hafizh pada GP Styria kali ini.

Super KIP rehat

Dalam perkembangan sama, seorang lagi pelumba negara dalam kelas Moto2, Khairul Idham Pawi dilapor tidak menyertai perlumbaan GP Styria di Litar Red Bull Ring, Austria minggu ini.

Ia bagi membolehkan Khairul Idham
ke Barcelona, Sepanyol bagi menjalani rawatan akibat kecederaan jari yang dihadapinya ketika perlumbaan GP Austria, minggu lalu.

Prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing Team, Datuk Razlan Razali berkata pihaknya membuat keputusan merehatkan pelumba dengan gelaran 'super KIP' itu pada perlumbaan akan datang bagi memberi peluang kepada beliau pulih sepenuhnya.

"Ini membolehkannya pulih dan berehat selama tiga minggu, supaya beliau kembali lebih baik pada perlumbaan di Misano.

"Ia keputusan yang sukar bagi pihak pengurusan dan juga KIP, tapi ia demi keselamatan dan kesihatan serta kebaikan pasukan," katanya dalam satu kenyataan.

Post a Comment

0 Comments