Fitnah tindakan bodoh orang gopoh, tegas Farhash


PIHAK berkuasa polis menafikan fitnah kononnya ada konflik kepentingan dalam siasatan membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Politiknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata semua dakwaan yang ditularkan di media sosial bagi memburuk-burukkan pihak polis dan kedua individu terbabit adalah tidak berasas.

Menurut Huzir lagi, dakwaan kononnya Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid adalah bapa saudara kepada Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvavador juga tidak benar.

“Kes terbaru melibatkan kes fitnah liwat Anwar Ibrahim dan Aidil Azim Abu Adam di mana laporan tersebut mendakwa DCP Mior Fardalathrash merupakan pegawai penyiasat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan ingin menegaskan bahawa DCP Mior Faridalathrash bukan bapa saudara Farhash.

"Semua dakwaan yang dibuat adalah tidak tepat, tidak benar, berniat jahat dan berunsur fitnah,” katanya dalam kenyataan.

Huzir turut mengulas laporan menyatakan semua kes yang melibatkan Farhash dilepaskan begitu sahaja disebabkan wujud konflik kepentingan.

Tegasnya, semua kes melibatkan Farhash sebelum ini atau pada bila-bila masa tidak pernah disiasat oleh DCP Mior Faridalathrash dan semua siasatan dikaitkan dengan Farhash mahupun Anwar disiasat oleh pasukan khas siasatan yang secara langsung diselia oleh beliau selaku Pengarah JSJ.

“ Beliau (DCP Mior Faridalathrash) juga pada bila-bila masa tidak pernah berjumpa dengan Farhash sebelum atau selepas apa juga siasatan yang membabitkan Farhash atau Anwar Ibrahim,” katanya Huzir lagi.
Sementara itu, Farhash dalam catatan di laman Facebooknya menyifatkan percubaan pihak tertentu cuba memberi gambaran buruk kepada pihak polis dengan mengaitkan Faridalathrash dengannya sebagai satu bentuk kebodohan.

"Saya dimaklumkan berkenaan tuduhan bahawa ketelusan pihak PDRM selama ini ke atas saya wajar dipersoalkan kerana DCP Mior Faridalathrash Wahid adalah pak cik saya.
"Bagi pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan fitnah ini, janganlah bodoh sangat dalam kegopohan nak menjatuhkan orang," tegas Pengerusi KEADILAN Perak itu dipetik.




 

Post a Comment

0 Comments