Anwar gesa suntikan dana fiskal lebih besar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa agar kerajaan mempertimbangkan semula skala suntikan dana fiskal.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata cadangan suntikan dana fiskal tambahan sedia ada bernilai RM45 bilion adalah kecil jika dibandingkan dengan kadar penguncupan 17.1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.

Nilai lebih besar jelasnya diperlukan bagi memastikan usaha pemulihan ekonomi yang terkesan dari pendemik Covid-19 berupaya dilaksana secara menyeluruh.

"Kadar penguncupan suku kedua ini mengejutkan kerana ia jauh berbeza daripada unjuran kerajaan dan Kementerian Kewangan.

"Tetapi kita harus realistik bahawa penguncupan sebegini mengundang parah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan saya nak nyatakan beberapa contoh perbandingan dengan beberapa negara jiran.

"Indonesia penguncupan mereka ialah 5.32 peratus, Thailand (dianggarkan antara 12 hingga 13 peratus), Singapura (13.2 peratus), Filipina (16.5 peratus), Australia (dianggarkan tujuh peratus), tetapi Malaysia 17.1 peratus.

"Kalau penguncupan sebegini, pakej rangsangan dari segi suntikan dana fiskal harus lebih tinggi, namun kita tengok kadarnya di Malaysia adalah paling rendah.

"Suntikan dana fiskal oleh Malaysia daripada KDNK adalah sekitar tiga peratus, Australia (10.6 peratus), Filipina jauh lebih rendah (3.1 peratus), Thailand (11.8 peratus), Indonesia (3.5 peratus), manakala Singapura (19.6 peratus) saya fikir kita tidak boleh tandingi kerana kedudukan ekonomi mereka, meskipun penguncupannya jauh lebih rendah berbanding Malaysia," katanya.

Anwar berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengambil pendirian untuk menyokong RUU berkenaan, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata sokongan akan tetap diberikan sekiranya kerajaan berhasrat untuk menambah dana suntikan fiskal, menjangkau RM40 bilion.

Bagaimanapun, katanya, sebarang penambahan dana fiskal tidak akan memberi kesan positif kepada usaha pemulihan ekonomi jika tiada aspek urus tadbir kerajaan yang utuh dan bebas daripada sebarang elemen penyelewengan, ketirisan serta salah guna kuasa.

"Usah kita pedulikan isu penarafan global kerana negara di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sekalipun tidak menghiraukan aspek sedemikian, cuma yang penting ialah berkaitan urus tadbir serta kecekapan pengurusan.

"Oleh itu, sejauh mana defisit akan direkodkan di Malaysia tidak wajar menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang ialah bagi menjana pertumbuhan ekonomi, pasca pandemik COVID-19.

"Pembangkang akan sokong RUU ini, malah usulkan kepada Kementerian Kewangan untuk tambah suntikan dana fiskal secara skala lebih besar untuk menampan kesan ekonomi global berikutan krisis pandemik kesihatan awam ini," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu lagi.
 

Post a Comment

0 Comments