BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini bersuara terhadap isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh seorang menteri dari PAS.
Pemimpin kanan Amanah itu ketika ditanya mengenai isu tindakan Khairuddin Aman Razali yang tidak menjalani arahan kuarantin selepas pulang daripada luar negara berkata, apa yang berlaku bukan sekadar isu denda, namun melibatkan perkara lebih besar, iaitu “maruah”.
Namun Dzulkefly mengakui kadar denda RM1,000 dikenakan terhadap Khairuddin terlalu rendah berbanding rakyat biasa.
“Jika di New Zealand, menteri sudah letak jawatan.
"Isui ni sudah jadi perhatian rakyat, Dan rakyat rasa berat sebelah menteri hanya kena (denda) RM1,000.
"Saya rakamkan bahawa jangan cuba provok dengan pulang gaji 4 bulan, ini bukan isunya.
“Soalnya adalah maruah seorang menteri dengan sengaja langgar SOP KKM untuk Covid-19," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Kelmarin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Khairuddin dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.
Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Khairuddin, ulamak PAS yang dikritik hebat sebelum ini memohon maaf dan berkata akan menyumbangkan empat bulan gaji kepada Tabung Covid-19.
Dalam perkembangan lain, pemimpin PAS dilihat cuba meredakan serangan rakyat terhadap Khairuddin.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan apa yang berlaku tidak sepatutnya dijadikan isu kerana Khairuddin didapati negatif dari wabak itu dan tidak mencetus kluster baharu.
Memetik laporan Malaysiakini, Tuan Ibrahim turut membandingkan pemandu lori yang menurutnya berulang-alik menghantar sayur ke Singapura dan tidak perlu kuarantin
"Tiap-tiap hari lori bawa sayur masuk Singapura, kena kuarantin ke tak? Tak kena kuarantin. Balik Singapura masuk Malaysia kena kuarantin ke tak? Tak kena.
"Pilot (juruterbang) kena kuarantin ke tak? Pilot hak (yang) bawa kapal terbang, masuk negara 'nun' 14 hari masuk negara ini 14 hari tidak kena kuarantin," katanya dalam satu kuliah subuh yang disiarkan secara langsung di Facebooknya semalam.
Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga merupakan ahli parlimen Kuala Selangor turut mengingatkan, pemimpin seharusnya menunjukkan teladan yang baik.
"Pemimpin kalau tak mula patuh (SOP) jangan harap rakyat akan patuh kerana melihat pemimpin dengan senang lepas (dari undang-undang)," katanya lagi.
0 Comments