PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian gabungan itu yang mahu kedudukan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat dikekalkan.
Bercakap kepada pemberita dalam satu program di Port Dickson, Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia itu berkata, HARAPAN akan mempertahankan kedudukan kedua-duanya pada sidang Parlimen bermula 13 Julai ini.
“(Kita) sudah lihat beberapa langkah reformasi parlimen yang belum pernah berlaku sebelum ini - select committee, kaukus, kegiatan parlimen, latihan, hubungan dengan beberapa badan antarabangsa, beri peluang pendedahan kepada ahli parlimen yang muda.
“Jadi oleh yang demikian, kita akan secara tegas dan keras mempertahankan kedudukan Tan Sri Ariff dan juga timbalan speaker Nga Kor Ming,” katanya.
Anwar turut mengkritik pihak yang menganggap pertukaran tersebut sebagai perkara biasa.
Institusi speaker di Parlimen adalah satu asas yang penting dan pihak yang membuat anggapan usul dikemuka Muhyiddin Yassin bagi menyingkirkan Mohammad Ariff dan Nga adalah mereka yang tidak faham tentang sejarah parlimen.
Sebagai rekod, usul dikemuka Muhyiddin sebelum ini dianggap sebagai luar biasa, ia belum pernah dilakukan mana-mana pihak sebelum ini.
Menurut konvensyen parlimen, kedudukan speaker biasanya dikosongkan dalam salah satu dari tiga keadaan berikut - ketika parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum, ketika speaker meninggal dunia atau ketika speaker mengundurkan diri.
Bagaimanapun difahamkan ketiga-tiga situasi ini tidak terjadi.
Selain usul menyingkirkan keduanya, M uhyiddin juga dilaporkan telah menghantar notis mencalonkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai speaker baru, manakala anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said pula sebagai timbalannya.
0 Comments