SEMUA Ahli Parlimen Warisan akan menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bagi menggantikan Mahiaddin Md Yasin.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sambil berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu perlu mencukupkan terlebih dahulu sokongan bagi jawatan itu.
Bagi mengelakkan pentadbiran negara sekali lagi diambil oleh Perikatan Nasional (PN), pembangkang turut menamakan beliau sebagai calon kedua sekiranya Anwar gagal mendapatkan jumlah sokongan mencukupi.
“Kita ada muafakat diantara pembangkang. saya bincang dengan Anwar dan Lim Guan Eng. Mat Sabu dan Tun Mahathir juga saya bincang.
“Kita pembangkang sudah putus kita ada dua calon PM. Anwar dan saya juga. Kita asaskan 105 yang ada. Ini pemuafakatan kita. Siapa yang dapat raih untuk jadi calon pilihan, kita kena akur.
“Jika Datuk Seri (Anwar) ada jumlah, kita putus kita bagi sokongan. Jika ada sokongan pada saya, pun begitu, sama juga,” kata Shafie dalam temuramah beliau dengan Astro Awani malam ini.
Jumlah 105 Ahli Parlimen yang diasaskan itu meliputi 38 dari KEADILAN, DAP (42), AMANAH (11), Warisan (8), Pejuang (4), PSB (2), Upko (1) dan Bebas (2).
Shafie menegaskan bahawa pembangkang sepakat untuk tidak akan menyokong pencalonan pihak lain selain kerana pihak tersebut telah menjatuhkan kerajaan yang telah dibina berdasarkan mandat rakyat pilihan raya umum yang lalu.
Sementara itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam wawancara sama turut menegaskan bahawa partinya juga mengutamakan sokongan kepada Pakatan Harapan sekarang.
“keutamaan kami tentu bersama HARAPAN. Jadi calon pertama dan kedua adalah yang kami beri tumpuan ketika ini.
"Kita harap bahawa pihak HARAPAN akan usahakan dan maklumkan kepada kami bahawa mereka sudah mempunyai jumlah mencukupi. Jadi kita akan jalan terus selepas itu," katanya dipetik.
Ahli Parlimen diberikan masa sehingga 4 petang esok untuk menyerahkan surat akuan berkanun kepada Istana Negara dan menamakan calon Perdana Menteri kesembilan kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol (Bersara) Nazim Mohd Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.
Terdahulu beberapa Ahli Parlimen menyatakan pendirian bahawa Anwar adalah calon perdana menteri pilihan mereka.
Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dalam satu laporan oleh Sinar semalam menegaskan bahawa pendirian beliau dan parti DAP telah jelas selama ini untuk memilih Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai calon Perdana Menteri yang kesembilan.
Manakala Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau akan menghantar surat akuan (SD) menyokong Ketua Pembangkang itu sebagai perdana menteri hari ini, sesuai dengan ketetapan dibuat parti itu sejak dahulu.
Sebagai rekod, Anwar sekali lagi menjadi perhatian ramai susulan perkembangan politik ini, seorang Ahli Akademik, Profesor Datuk Dr Muhammad Agus Yusof dalam satu hantaran berkata, Anwar merupakan individu yang dilihat memiliki nilai pemimpin diperlukan negara.
![]() |
Warisan dan pejuang sokong Anwar |
0 Comments