Pemimpin Amanah kecam propaganda murahan


PROPAGANDA
murahan yang mendakwa tiga Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikecam. 

Timbalan Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata,  ia turut membayangkan Perikatan Nasional (PN) dalam keadaaan lemah dan terdesak.


Salahuddin berkata begitu ketika menafikan kononnya beliau bersama 2 lagi pemimpin parti itu akan melompat dan menyokong PN.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan palsu tersebut.

“Laporan yang merupakan fitnah murahan itu tidak akan sedikit pun menjejaskan usaha dan komitmen HARAPAN untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik PN.

“Saya mengharapkan rakyat Malaysia dapat bersama HARAPAN mendukung dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baharu yang bebas rasuah dan penyelewengan serta menegakkan amalan politik yang telus, benar dan tidak berteraskan fitnah dan kepalsuan,” jelasnya.

Selain Salahuddin, dua nama lain yang didakwa akan menyokong PN ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negeri Johor, Noor Khalim Sakib menambah taktik yang digunakan ini adalah untuk memberi keyakinan kepada ahli Bersatu ketika parti itu berdepan krisis kepimpinan.

“Tindakan menuduh tiga Ahli Parlimen AMANAH yang akan menyertai Bersatu ini adalah langkah menutup pemerhatian umum terhadap isu kelemahan PN hari ini.

“Ini petanda PN gelabah dengan menyebarkan perkara yang tidak benar sebegini. Mereka (PN) takut untuk berhadapan dengan realiti selepas semalam Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan.

“Peletakkan jawatan itu adalah satu tamparan yang hebat di mana sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN hari ini dilihat goyah," katanya.

Post a Comment

0 Comments