Cikgu Ayu nak jadikan Tanjung Karang destinasi ekopelancongan



CALON Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Tanjong Karang, Siti Rahayu Baharin melihat peluang untuk beliau memenangi kerusi kawasan kubu kuat BN itu semakin cerah.

Dipetik laporan media, Siti Rahayu berkata beliau pada awalnya merasakan tindakan mencalonkannya ke kawasan Parlimen itu sebagai tindakan 'kamikaze' namun langkah BN mengugurkan Noh Omar di kerusi itu telah membuka peluang untuk HARAPAN merampas kerusi itu.

"Walaupun saya tidak mahu mengambil kesempatan atas kejatuhan orang lain, itu adalah realiti.

“Saya tidak menafikan bahawa (langkah BN menggantikan Noh) mungkin menyebabkan sedikit perpecahan undi, dan ia mungkin satu kelebihan kepada semua yang mengambil bahagian.

"Sekarang dengan Tan Sri Noh tidak bertanding, padang permainan mungkin lebih rata (bagi kami yang bersaing)," katanya dipetik wawancara Malaysiakini.

Rahayu sebelumnnya diminta mengulas keputusan pucuk pimpinan parti meletakkan Habibah Mohd Yusof sebagai calon dan bukannya Noh yang tidak disenangi sebahagian ahli parti akar umbi Umno.

Rahayu yang lebih dikenali sebagai Cikgu Ayu meletak jawatan sebagai guru untuk memulakan inisiatif Buku Jalanan Chow Kit, sebuah NGO yang menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak terpinggir di kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bercakap mengenai rancangannya untuk Tanjong Karang, Rahayu berkata beliau mempunya senarai isu yang mahu diberi perhatian.

Sebagai bekas guru jelasnya, sudah pasti isu pendidikan menjadi senarai utama yang mahu diberi perhatian olehnya bagi memastikan masa depan rakyat akan menjadi lebih baik.  

Untuk tujuan itu juga jelasnya, beliau mahu memastikan infrastruktur di Tanjong Karang terutama liputan internet dipetingkatkan.

Tanjung Karang juga tegasnya berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekopelancongan.

Berkongsi garis pantai yang sama dengan Sekinchan, sebuah destinasi ekopelancongan, Tanjong Karang juga sepatutnya boleh menerokai pasaran itu, tegasnya.

"Nelayan pesawah sini masih di takuk lama.

“Kajian perlu dibuat, dan kita juga perlu melihat isu keselamatan sosial untuk golongan ini. Negara telah menghadapi masalah keselamatan makanan, tetapi mengapa mereka tidak menjaga orang yang boleh menyediakan jaminan bekalan makanan?
Tanjung Karang ada potensi besar dibangunkan


"Saya tidak mengatakan pihak berkuasa tidak melakukan apa-apa. Tetapi tidak salah untuk kita melihat semula isu-isu ini. Kerana jika hendak dibandingkan dengan Thailand, petani kita di sini sudah jauh ketinggalan," katanya.


Selain akan berdepan Habibah, Siti Rahayu turut akan berdepan  Zukafperi Hanapi dari PN, calon GTA Azlan Sani Zawawi dan calon bebas Mohd Rosni Mastail.

Post a Comment

0 Comments