Pemandu mabuk: Muhyiddin didakwa bersikap populis


KENYATAAN perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang  tampil menyatakan menyuarakan rasa bimbang terhadap isu pemandu mabuk dilihat hanya bersifat populis.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin berkata, hanya selepas berlaku tiga kemalangan yang meragut dua nyawa, barulah Muhyiddin muncul mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka hukuman lebih berat dikenakan.

“Kami menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai populis bagi mengalihkan kemelut politik yang beliau hadapi dalam parti Bersatu.

“Tiada penyelesaian yang tuntas,” tegasnya

Shazni turut mengingatkan bahawa  kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah lebih awal memulakan langkah meminda Akta 333 supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu dibawah pengaruh alkohol dan dadah, serta pemandu berbahaya.

Sebagai rekod, Kementerian Pengangkutan ketika era HARAPAN telah  pun merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperketat undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Perkara itu didedahkan sendiri bekas menterinya, Anthony Loke melalui satu kenyataan sebelum ini.

Jelasnya, antara perkara yang mahu dipinda ialah dengan mengenakan hukuman lebih ketat terhadap pesalah dimana hukuman penjara ditingkatkan dari 10 kepada 20 tahun dengan meminda Sesyen 44.

Selain itu, kementerian itu bercadang menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 mg alkohol dalam 100 ml darah kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah (atau kurang) mengikut piawaian World Health Organization.

Isu berkenaan menurut Loke telah dibawa mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu dan sepatutnya dibawa ke Dewan Rakyat pada tahun ini.

Post a Comment

0 Comments