BEKAS Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu yang kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman di Putrajaya didakwa atas tuduhan rasuah.
Azmil Muntapha Abas, 45 dituduh melakukan kesalahan itu bersama Khairul Azhwa Yusrie, 32, yang juga bertugas sebagai timbalan pendakwa raya di mahkamah sama serta peguam Noor Amirul Nazreen, 31.
Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40.
Ia sebagai upah kepada Azmil Muntapha untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan di bawah perenggan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang kesalahan itu dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Sementara itu, di mahkamah sama, Azmil Muntapha turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu secara rasuah.
Dia didakwa memperoleh bagi dirinya sebagai Hakim wang tunai RM5,000 yang didepositkan ke dalam akaun banknya daripada Soo Seng Kok, 36, melalui Zumairi Othman, 37, seterusnya melalui Ahmad Feisal Mohd Azmi, 37.
Wang itu sebagai upah kepada tertuduh kerana melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu menjatuhkan hukuman denda terhadap enam individu yang melakukan kesalahan di bawah subsekyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka (Akta 289).
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Jalan Meru, Klang dekat sini, pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 17(a) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali jumlah rasuah terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, kes ini merupakan kali kedua dalam sejarah Malaysia seorang hakim yang sedang berkhidmat diheret di mahkamah susulan pertuduhan jenayah.
0 Comments