Ejen kad kredit mati jatuh bangunan


SEORANG
lelaki tempatan ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat atas sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, sebelumnya pihaknya menerima satu panggilan kecemasan dari orang awam.

Maklumat itu jelasnya menyatakan ada seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas kondominium di Bandar Sri Permainsuri dekat Cheras itu.

“Sebaik tiba, kami menemui mayat lelaki itu di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohamed Mokhsein pemeriksaan dilakukan mendapati lelaki berkenaan adalah warga tempatan berusia 32 tahun.

“Mangsa yang bekerja sebagai ejen kad kredit dan tinggal menyewa di unit kondominium berkenaan bersama rakan.

“Pemeriksaan dilakukan pada badan mangsa mendapati tiada unsur-unsur jenayah,” katanya lagi.

Difahamkan mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk dibedah siasat dan pihak polis bakal menjalankan  siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Setakat ini, pihak polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).