TINDAKAN pentadbiran Muhyiddin tidak membawa apa-apa usul dalam sidang Dewan Rakyat semalam menunjukkan mereka tidak yakin dengan majoriti yang dimiliki, kata Hanipa Maidin.
Bekas timbalan menteri undang-udang itu mendakwa, pentadbiran Muhyiddin mengelak untuk membawakan sebarang egenda mesyuarat termasuk daripada mereka sendiri kerana hanya mahu kekal selamat.
"Kenapa kerajaan yang ada suara majoriti tidak mahu teruskan apa-apa agenda mesyuarat selepas perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong?
"Kenapa PAS yang sebelum ini pernah cadang untuk bawa usul percaya kepada bekas perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad), kini tidak mahu pula bawa usul sama hari ini?" soalnya dalam kenyataan.
Tambah Hanipah lagi, keputusan untuk mengehadkan agenda Dewan Rakyat hanya kepada titah diraja menyebabkan spekulasi berkenaan kedudukan sokongan terhadap Perikatan Rakyat (PN) sukar dielakkan.
"Saya berani simpulkan bahawa PN adalah kerajaan yang ada suara majoriti tetapi tak yakin dengan majoriti tersebut," katanya lagi.
Portal Malaysiakini semalam melaporkan Muhyiddin memiliki majoriti tipis sokongan anggota Parlimen untuk menjadi perdana menteri.
Difahamkan, pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh itu hanya mempunyai kelebihan dua kerusi.
Sebelum ini Pakatan Harapan (HARAPAN) mendesak agar persidangan itu dilanjutkan, tetapi ditolak pentadbiran Muhyiddin atas alasan risiko penularan Covid-19.
Menurut Dewan Rakyat pula sebelum ini, kerajaan mengarahkan sidang hari ini disingkatkan kepada titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja atas dasar yang sama.
Mengulas lanjut, Hanipa berkata sudah menjadi kelaziman bahawa kerajaan baru akan menjadikan pertukaran speaker dan timbalan speaker sebagai antara agenda paling awal.
"Tak bolehlah kerajaan baru (tetapi) nak pakai speaker kerajaan lama. Ini bertentangan dengan parliamentary convention," katanya
0 Comments