SEBANYAK 57 kes baru berkaitan koronavirus (Covid-19) dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan meningkat kepada 7,819 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya siang tadi berkata, jumlah kes baru itu terdiri daripada 10 kes import dan 47 jangkitan tempatan.
Manakala daripada 47 kes jangkitan tempatan itu, 43 kes melibatkan warga asing, dan empat melibatkan warga tempatan.
Jelas Dr Noor Hisham, kes melibatkan warga asing itu ialah 24 kes dikesan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang; 15 kes dikesan di Pahang yang merangkumi tiga kluster pekerja warga asing; satu kes dari Kluster Kampung Sungai Lui; satu kes Kluster Pudu; dan satu kes warga asing dalam proses pemindahan ke DTI; serta satu kes pekerja di Klang.
Pada sidang medianya juga, Dr Noor Hisham memaklumkan 23 lagi pulih dari jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,353 atau 81.25 peratus daripada keseluruhan kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia setakat kini ialah 1,351 dengan Sembilan pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu jelasnya, tiada kematian baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.
0 Comments