BEKAS jaguh badminton negara, Tan Aik Mong meninggal dunia dipercayai akibat kanser hati semalam.
Mendiang yang berusia 70 tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya di Petaling Jaya.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melalui satu kenyataan malam tadi berkata, badan itu amat dukacita dengan pemergian Aik Mong.
Mendiang kata mereka telah memberikan sumbangan besar kepada dunia sukan badminton negara semasa era kegemilangannya pada tahun 1960-an dan 1970-an.
“BAM ingin menzahirkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mendiang Tan Aik Mong atas pemergian seorang insan yang begitu banyak menyumbang kepada BAM dan sukan badminton Malaysia.
"Ingatan semua di BAM adalah bersama keluarga, rakan dan orang tersayang Aik Mong pada masa yang sukar ini," kata kenyataan itu.
Aik Mong adalah juara Kejohanan All England dalam acara lelaki perseorangan pada 1966 selain mewakili negara dari tahun 1966 hingga 1975.
Mendiang turut membantu Malaysia meraih gelaran naib juara bagi kejohanan Piala Thomas pada 1970 yang berlangsung di Kuala Lumpur selain merangkul dua pingat perak dalam Sukan SEAP 1973 (kini dikenali sebagai Sukan SEA) di Singapura.
Pencapaian terbesar mendiang Aik Mong ialah merangkul pingat emas dalam acara lelaki perseorangan pada Kejohanan Badminton Asia 1971 di Jakarta.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut memegang pelbagai jawatan dalam BAM termasuk sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat badan tersebut pada 2013.
Mendiang adalah adik lelaki kepada seorang lagi jaguh badminton negara iaitu Tan Aik Huang.
0 Comments