Bayi maut tertinggal dalam kereta


SEORANG
bayi perempuan berusia sembilan bulan maut dipercayai kerana bapanya terlupa bahawa anaknya itu berada dalam kereta.

Memetik laporan berita, mangsa ditemukan bapanya yang berusia 38 tahun dalam keadaan terbaring di kerusi bayi di tempat duduk belakang kereta semasa hendak keluar makan tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik (semuanya perempuan), iaitu berusia enam dan 10 tahun dipercayai telah berada dalam kereta jenis Perodua Alza dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati bapa mangsa seharusnya menghantarnya ke sebuah taska di Indera Mahkota 15 selepas menghantar isterinya ke tempat kerja berhampiran, namun terlupa untuk berbuat demikian.

“Bapa mangsa sebelum itu turut menghantar anak sulungnya ke sebuah sekolah rendah pada 7.20 pagi dan kembali ke rumah untuk mengambil isteri, anak kedua dan mangsa sebelum keluar semula pada 8.25 pagi,” katanya kepada pemberita.

Mohamad Noor berkata, sebaik sahaja melihat mangsa dalam keadaan lemah, bapa mangsa telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Indera Mahkota, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mohamad Noor berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Post a Comment

0 Comments