Kementerian tak laksana pengurusan nilai projek solar - saksi


SEORANG
saksi pendakwaan dalam kes isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor mendakwa tiada rundingan harga dibuat antara Kementerian Pendidikan dan Jepak Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan nilai terbaik bagi wang sebelum Surat Setuju Terima (SST) projek solar hibrik dikeluarkan.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Othman Semail, 58, berkata, nilai kontrak RM1.25 bilion bagi projek itu ditetapkan sendiri oleh Jepak Holdings Sdn Bhd.

"Nilai kontrak bagi projek solar itu sebanyak RM1.25 bilion ditetapkan oleh Jepak dari mula lagi dan diterima sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

"Setahu saya, tiada pengurusan nilai dibuat meskipun ia diwajibkan ke atas projek fizikal melebihi RM50 juta," katanya.

Othman sebelumnya menjawab pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya T. Deepa Nair semasa perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berkaitan projek tersebut.

Selain itu, Othman berkata, pihaknya juga tidak pernah mendapat gambaran jelas mengenai keperluan pelaksanaan projek solar hibrid, skop projek dan kemampuan Kementerian Pendidikan untuk membiayai serta keupayaan Jepak melaksanakan projek berkenaan.

Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata, pelaksanaan projek solar hibrid diberikan kepada Jepak atas arahan dan kelulusan bekas Perdana Menteri,  Najib  Razak yang ketika itu juga adalah Menteri Kewangan.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, ketika membacakan penyataan saksinya, Othman berkata, pada 10 November 2016, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan SST kepada Jepak untuk melaksanakan projek itu.

"Saya dan Bahagian Perolehan Kerajaan terlibat dalam urusan perolehan projek solar hibrid kerana projek itu kononnya dianugerahkan kepada Jepak melalui kaedah rundingan terus.

"Walaupun projek solar hibrid dikatakan telah diberi kepada Jepak, kononnya menerusi rundingan terus, tetapi berdasarkan pengetahuan saya, peraturan dan proses kerja berkaitan rundingan harga tidak dipatuhi sebelum SST dikeluarkan kepada syarikat itu," katanya dipetik laporan Sinar.

Beliau juga berkata, tidak wujud sebarang dokumen seperti Laporan Hasil Rundingan Harga kepada Pekeliling Perbendaharaan dan berdasarkan surat Jepak bertarikh 6 November 2016, ia didapati tidak mengandungi maklumat mencukupi untuk pengeluaran SST.

“Surat itu tidak menceritakan keputusan rundingan harga yang kononnya telah disempurnakan dan berdasarkan pengalaman saya, ini adalah satu-satunya kes yang menyaksikan Datuk Seri Najib memberi arahan untuk mengeluarkan SST kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid, ketika itu Menteri Pendidikan, berdasarkan permintaan syarikat.

“Bahagian Perolehan Kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Kementerian Pendidikan yang mengeluarkan SST tanpa menjalankan rundingan harga dan hanya sekadar mengambil maklum tindakan itu. Ini kerana SST telah dikeluarkan dan satu ikatan kontrak telah diwujudkan antara Kementerian Pendidikan dan Jepak berdasarkan terma-terma yang dinyatakan dalam SST itu,” katanya lagi.

Othman berkata, pada 22 Mac 2017, pihaknya telah menerima permohonan daripada Kementerian Pendidikan untuk pembayaran pendahuluan sebanyak RM130 juta kepada Jepak bagi melaksanakan projek solar itu berdasarkan minit yang dibuat oleh Najib.

“Merujuk kepada surat Jepak kepada Najib, bekas perdana menteri itu ada meminitkan ‘Diluluskan permohonan ini. Sila keluarkan pendahuluan dengan segera',” katanya.

Kementerian Pendidikan juga jelasnya dikehendaki membuat pembayaran interim berjumlah RM92,073,160.67 kepada Jepak dengan segera kerana syarikat itu telah mengugut untuk memberhentikan bekalan diesel kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.