Fatehah Mustapa umum persaraan dari lumba basikal


RATU
berbasikal trek negara Fatehah Mustapa mengumumkan persaraannya dalam sukan itu.

Keputusan itu dibuat setelah atlet berasal dari Kuala Terengganu itu mengabdikan dirinya dalam arena sukan itu sejak 17 tahun lalu.

“Assalamualaikum, buat semua, pertamanya saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada anda penyokong dari Malaysia di atas sokongan berterusan di sepanjang perjalanan kerjaya saya. 

Saya mengambil keputusan bersara sebagai seorang pelumba basikal selepas berkecimpung selama 17 tahun di dalam sukan ini ” katanya laman sosial Facebook (Fatehah Mustapa) dan juga instagramnya (@fatehahmustapa).

Melalui hantaran itu juga, atlet berusia 31 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Beliau turut menyampaikan penghargaan buat penaja seperti CIMB, Sime Darby, AirAsia, Tumi, Nike dan Oakley yang jelasnya memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan bakat.

“Jutaan terima kasih kepada keluarga kerana keyakinan yang diberikan dan terus menyokong saya sehingga penghujung kerjaya saya. 

"Terima kasih banyak kepada  Melbourne Base Team untuk semuanya. Saya amat bertuah kerana memiliki sebuah keluarga yang baik.

"Buat seorang dan hanya seorang, yang telah membesarkan saya sepanjang 11 tahun lepas dan beliau bukanlah hanya seorang jurulatih tetapi juga seorang ayah (John Beasley) yang selalu di sisi anaknya semasa susah dan juga sewaktu mencapai kejayaan, berbanyak-banyak terima kasih di atas semua pengorbanan anda untuk saya,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Fatehah pernah berada dalam pasukan Sukan Olimpik negara sebanyak dua kali (2012 dan 2016) serta diberikan peluang sebagai pembawa bendera Malaysia pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Sepanjang kariernya, Fatehah meraih pelbagai kejayaan termasuk dua pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) , tiga pingat emas Sukan SEA serta pingat perak Sukan Asia.


Jurulatih


Sementara itu, Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) dilapor menawarkan platform baharu untuk Fatehah terus menyumbangkan kemahiran dan pengalamanya sebagai seorang jurulatih.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, bersandarkan pengalaman beraksi dalam Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, badan induk itu enggan mensia-siakan potensi yang dimiliki bekas pelumba tersebut dan akan berusaha membantunya bertukar ke bidang kejurulatihan.

Di tambah pula katanya, Malaysia amat ketandusan jurulatih wanita dalam acara berbasikal trek.

Post a Comment

0 Comments