SURAT pengecualian yang memberi kebenaran kepada syarikat arak, Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi ketika Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dan tular di media sosial hari ini disahkan tulen.
Perkara itu disahkan sendiri sumber syarikat tersebut seperti dilapor portal Malaysikini.
Penularan surat bertarikh 31 Mac 2020 itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hasnol Zam Zam Ahmad dan ditujukan kepada Pengurus Besar Heineken Malaysia Bhd itu sebelum ini membangkitkan rasa tidak puas hati warganet.
Dalam surat itu, kementerian berkenaan membenarkan syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.
"Berhubung permohonan tuan/puan pada 24 Mac 2020, setelah meneliti dan menyemak yang dikemukakan kementerian mendapati permohonan tuan/puan memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.
"Sehubungan itu, kementerian mengesahkan dan bersetuju bahawa aktiviti perniagaan tuan/puan boleh dibuka bagi memastikan pembekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP. Pengesahan ini juga tertakluk kepada syarat-syarat seperti lampiran A," katanya dalam kandungan surat tersebut.
Tinjuan di laman sosial portal berkenaan mendapati kebanyakan warganet mempersoal mengapa pentadbiran Muhyiddin dan penyokong parti PAS berdiam diri dalam isu tersebut.
"Mana hilang orang suci pas ini ? Tak pe, teruskan salahkan org lain terutamanya dap," kata Joel Joe
Sementara, ada sesetengah dari mereka dengan sinis meminta warganet berbaik sangka dengan menganggap produk dikeluar syarikat itu bakal digunakan sebagai sanitiser.
"Itu kilang buat alcohol sbg bahan sanitizer la. Essential service tu. Cuba la bersangka baik, " kata Jey Hint.
Sebagai rekod, PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan dilanjutkan sehingga 14 April ini.
Sepanjang PKP, perniagaan dan perkhidmatan kategori tidak penting mesti ditutup sementara orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah atas urusan penting, antaranya untuk membeli barang makanan.
Sehingga laporan ini ditulis, belum ada penjelasan dari kementerian apakah surat berkenaan tulen dan mengapa kelonggaran terhadap syarikat pengeluar arak itu telah dikeluarkan.
0 Comments