Polis buka kertas siasatan terhadap laporan SCMP


KERTAS siasatan ke atas laporan akhbar South China Morning Post (SCMP) berhubung serbuan Jabatan Imigresen ke atas warga asing pada Jumaat kini dibuka oleh pihak berkuasa polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamaed berkata, siasatan terhadap laporan akhbar berpangkalan di Hong Kong itu termasuk dalam bidang kuasa polis  walupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, tiada tindakan akan diambil keatas pemberita SCMP, Tashny Sukumaran.

Huzir berkata hari ini, “polis telah membuka kertas siasatan. Ia dalam bidang kuasa kami. SKMM tidak terlibat” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman semalam.

Terdahulu, Tashny yang merupakan koresponden SCMP memaklumkan di Twitternya bahawa dia dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman  berhubung penulisan berkenaan.

Ia susulan serbuan keatas warga asing di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara City One pada Hari Buruh lalu.

Sebagai rekod, ketiga-tiga bangunan itu berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Antara lain, artikel itu membangkitkan soal penjarakan sosial yang tidak diberi perhatian semasa penahanan dilakukan, dan turut memetik kenyataan aktivis bahawa ada kanak-kanak dan pelarian turut ditahan.

Menurut Tashny, dia dimaklumkan bahawa siasatan itu dibuat di bawah peruntukan Kanun Keseksaan berkait perbuatan menimbulkan provokasi dan keresahan awam dan juga di bawah Akta Komunikasi kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

Artikel yang diterbitkan pada Jumaat itu dengan tajuk yang menyebut “beratus-ratus orang ditangkap berikutan langkah Malaysia menyerbu migran di zon merah Covid-19”.

Tindakan itu kemudianya dikritik beberapa pertubuhan hak asasi yang turut menyuarakan kebimbangan usaha mengekang penularan wabak koronavirus terganggu.

Post a Comment

0 Comments