Jenazah Koperal Safwan selamat bersemadi


JENAZAH
Koperal Safwan Muhammad Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan.

Safwan merupakan anggota polis yang maut elepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Kajang semalam.

Upacara pengebumian Allahyarham Safwan, 31, dilaksanakan kira-kira jam 6 pagi tadi dengan penuh adat istiadat polis dan dihadiri lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat; Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd Yusoff dilapor turut hadir ke upacara berkenaan.

Turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan dari Hospital Serdang, Selangor sekitar jam 5.20 pagi diiringi 25 kenderaan polis.

Allahyarham bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

Kejadian kira-kira jam 2.11 pagi itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda terbabit terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

Post a Comment

0 Comments