Long Tiger ditahan polis semula selepas dibebaskan



INDIVIDU kontroversi yang menggunakan nama 'Long Tiger' ditahan semula pihak polis pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, lelaki berusia 31 tahun itu yang dikenali sebagai Abdul Hamim bin Abdul Hamid merupakan pemastautin sementara dari Myanmar ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di IPD Muar pada jam 5.45 petang.

Lelaki itu yang menjadi bualan natizen susulan beberapa sesi siaran langsung dalam Facebook sebelum ini ditahan semula kerana dipercayai melakukan pemerasan.

"Long Tiger telah ditangkap semula bersabit satu lagi kes yang baharu dilaporkan di daerah Tangkak melibatkan elemen pemerasan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

"Permohonan reman sudah dibuat mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan majistret telah membenarkan tahanan reman selama tiga hari sehingga 5 Mei," kata Ayob Khan dalam satu kenyataan di sini.

Selasa lalu IPD Tangkak menahan Long Tiger dan ditahan reman selama lima hari atas kesalahan memfitnah seorang pegawai polis dari IPD Tangkak.

Siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster besar.

Pihak polis sebelum ini mengesahkan suspek pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang.

Suspek juga mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada tahun 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan.

Post a Comment

0 Comments