DUA beranak warga Thailand maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai yang menjalankan perniagaan restoran di Jalan Air Itam, Datuk Keramat di George Town hari ini.
Memetik laporan Bernama, Aishah Tok Pok Ku, 51, dan ibunya, Minah Yahya, 80 terperangkap dalam kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi itu.
Pekerja restoran itu, Rohana Abdul Rahman, 33, yang juga warga Thailand berkata semasa kejadian dia berada di bahagian dapur bersama Aishah apabila ternampak percikan api di bahagian suis lampu di tingkat atas sebelum memaklumkannya kepada tauke restoran terbabit.
"Tiba-tiba terus keluar api dari situ dan saya menjerit untuk beritahu Kak Sah (Aishah) dan dua lagi kawan yang tengah kerja di restoran... waktu tu Kak Sah terus naik atas untuk selamatkan maknya tapi saya pegang halang dia naik sebab api dah marak, dia tolak saya dan terus naik juga.
"Kami semua keluar, masa tu memang dok nampak Kak Sah tarik mak dia turun kat tangga, saya nampak ada kayu timpa depa (mereka) dan api pula makin besar," katanya Rohana.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A'zelan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.33 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Api dipercayai bermula di bahagian atas rumah kedai dua tingkat itu dan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai bersebelahan pada 12.01 tengah hari.
"Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai bersebelahan dan selepas selesai memadam api, kami menemukan mayat dua beranak itu di tangga dipercayai mereka hendak turun menyelamatkan diri," katanya.
Dua beranak yang terkorban itu dilapor melecur antara 10 hingga 20 peratus sahaja, mereka dipercayai mereka meninggal dunia disebabkan terhidu asap tebal.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
0 Comments