#BankerJagaBanker: pentadbiran muhyiddin dikritik


PERUBAHAN prosedur moratorium pinjaman sewa beli dan pembiayaan islamik berkadar tetap yang diumumkan Bank Negara semalam dikritik ramai.

Ia susulan kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) bahawa bank kini akan mengenakan faedah moratorium atas pinjaman sewa beli.

Menurut kenyataan ABM, peminjam yang mengambil moratorium diberi dua pilihan, sama ada membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan (April hingga September) bersama dengan ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan; atau melanjutkan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak bersama faedah akan dikenakan.

Kenyataan itu dianggap penambah beban kepada peminjam berbanding gambaran diberikan sebelum ini.

Di media sosial, rakyat mengkritik pentadbiran Muhyiddin, dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif CIMB Group Holdings Bhd kini menjadi sasaran serangan pengguna maya.

Pengguna menggunakan tanda pagar #BankerJagaBanker bagi menyatakan bantahan terhadap perubahan prosedur moratorium itu.

Memetik laporan Malaysiakini, pengguna Twitter “khxrs” berkata " Tengok? Menteri kewangan pintu pelakang yang tidak dipilih, macam dia uruskan CIMB.

“Tak peduli kepentingan rakyat,” katanya.

Mahu moratorium tanpa faedah


Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) turut mengkritik langkah terbaru itu. Naib presiden KEADILAN, Chang Lih Kang menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai 'pusingan-U' dan merupakan penganiayaan pentadbiran Muhyiddin terhadap rakyat.

"Keputusan ini hanya akan membebankan para peminjam dan menguntungkan industri perbankan.

"Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB perlu jelaskan kepada rakyat.

"Beliau memainkan peranan wakil rakyat atau wakil industri perbankan? Adakah keputusan ini dibuat untuk menjaga kepentingan rakyat atau industri perbankan?" soalnya

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah,
Shazni Munir Mohd Ithin berkata peminjam kini perlu memberitahu bank sama ada mereka mahu mengambil moratorium atau sebaliknya.

"Sudahlah para pekerja ditekan dengan cuti tanpa gaji, hilang punca pendapatan, hari pekerja kali ini pula kerajaan hadiahkan ‘pusingan U’ yang jelas sangat membebankan.

"Dengan penuh hormat bersempena hari yang bermakna ini kami menggesa kerajaan merombak keputusan ini dan mengaplikasikan moratorium tanpa faedah dan caj keuntungan tambahan bagi pembiayaan sewa beli dan pembiayaan Islamik," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments